SUKJAP 2025 MERIAH, CETUS SEMANGAT 'SPORTING' WARGA USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Julai 2025 - Semangat kesukanan dalam kalangan warga Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan terus membara menerusi penganjuran Sukan antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) 2025 yang melabuhkan tirainya di Padang KOPA Arena, Kompleks Sukan 2, hari ini.
Majlis penutup SUKJAP 2025 disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan kejohanan tersebut.
“SUKJAP 2025 merupakan manifestasi komitmen universiti memperkasakan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan staf.
"Ia juga berjaya menyemarakkan kembali suasana kampus yang aktif bersukan (campus sporting) selepas negara melalui fasa pandemik,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran SUKJAP kali ini cukup istimewa apabila ia kembali dianjurkan secara fizikal selepas hampir 11 tahun, melibatkan penyertaan seramai 846 staf daripada enam (6) kontinjen, termasuk staf hospital yang dibahagikan kepada tiga (3) kontinjen.
Shaiful turut mengucapkan tahniah kepada Kelab Pengurusan Sukan dan Kebajikan Staf Kampus (KESUKAS), Unit Sukan dan Rekreasi serta Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) atas penganjuran program yang cukup tersusun dan meriah itu.
“Kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat serta semangat kesukanan, malah menyumbang kepada peningkatan 'Happiness Index' universiti,” tambahnya lagi.
Sebanyak 14 acara sukan dipertandingkan, termasuk sukan tradisional yang mendapat sambutan hangat daripada warga kampus merangkumi staf akademik, profesional dan sokongan.
Kontinjen Lestari dinobatkan sebagai kontinjen terbaik setelah berjaya merangkul lima (5) pingat emas, satu (1) perak dan empat (4) gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 10 pingat. Kedudukan teratas ini mengatasi kontinjen Kreativiti dan Inovasi yang turut mengumpul 10 pingat, namun kekurangan kutipan emas.
Turut hadir dalam majlis penutup ialah Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Kamaruddin; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad; Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Ketua Jabatan Kejururawatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad; Penolong Pendaftar Kanan Yang Menjalankan Tugas Ketua Jabatan BHEPA Kampus Kesihatan, Khairul Ithma Mahdi dan Yang Dipertua KESUKAS merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKJAP Kampus Kesihatan 2025, Dr. Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah.
Untuk rekod, SUKJAP kali terakhir dianjurkan secara fizikal pada tahun 2014, dan edisi 2025 menandakan kebangkitan semula penganjuran secara besar-besaran sejajar dengan usaha USM memperkukuh gaya hidup sihat dan semangat kesukanan warga kampus.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 261