SUKUM KE-46, USM SASAR CIPTA KEJAYAAN DI UNISZA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2026 - Semangat juang dan tekad untuk mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) jelas terpancar pada wajah para atlet yang bakal beraksi dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-46 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, yang dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 15 Ogos 2026.

Bagi menyuntik semangat serta memberi dorongan kepada kontinjen sebelum berlepas ke kejohanan itu, satu majlis ringkas Penyerahan Bendera Kontinjen USM telah diadakan di Dewan Pusat Mahasiswa (PUMA), Kampus Kesihatan USM hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail, yang menyerahkan bendera USM kepada ketua kontinjen sebagai simbol amanah, kepercayaan dan pelepasan rasmi kontinjen ke temasya sukan penuh berprestij itu.

Dalam ucapannya, Shaiful Bahari berkata, kejohanan SUKUM bukan sekadar medan persaingan untuk memburu kemenangan, malah menjadi platform mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga universiti awam, memupuk budaya hidup sihat serta menyemarakkan semangat kesukanan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pusat Sukan dan Rekreasi USM serta semua pihak yang terlibat dalam membuat persiapan kontinjen, termasuk warga Kampus Kesihatan yang memberi kerjasama sepanjang pelaksanaan latihan pusat.

“Latihan yang dijalankan bukan sahaja mempersiapkan atlet dari aspek fizikal, mental dan teknikal, malah berjaya memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh kesepaduan warga USM daripada pelbagai kampus.

"Saya berharap seluruh atlet dan pegawai kontinjen memberikan komitmen terbaik sepanjang kejohanan, bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi, menghormati lawan, mematuhi peraturan serta sentiasa menjaga nama baik universiti," katanya.

Menurut Shaiful Bahari, penyerahan bendera USM kepada ketua kontinjen melambangkan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang dipikul oleh seluruh kontinjen dalam membawa imej serta reputasi universiti.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan persiapan rapi, pengalaman serta semangat berpasukan yang tinggi, kontinjen USM mampu memberikan saingan sengit dan mencapai keputusan yang membanggakan pada SUKUM Kali Ke-46.


“Saya mendoakan agar seluruh kontinjen sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta selamat sepanjang perjalanan dan kejohanan,” ujarnya lagi.

Kontinjen USM pada edisi kali ini mempertaruhkan atlet dalam beberapa acara sukan, iaitu Bola Sepak Veteran, Bola Sepak Senior, Sepak Takraw, Golf, Dart, Memanah, Berbasikal, Futsal, Bola Jaring, ‘Ten Pin’ Boling, Petanque, Olahraga, Badminton, Catur, Bola Tampar Lelaki dan Bola Tampar Pantai.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dan Timbalan Pendaftar Kanan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Hafiz Assad Zakaria.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 282