'TADABBUR AL-QURAN CIRCLE' SUBURKAN BUDAYA ILMU DAN ROHANI WARGA KAMPUS KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Jun 2025 – "Al-Quran adalah sumber ilmu, petunjuk dan penawar. Ia bukan sahaja menyembuhkan penyakit jiwa, malah menjadi panduan dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian termasuk dalam profesion kesihatan yang kita ceburi," demikian petikan ucapan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam Majlis Penutup Program 'Tadabbur al-Quran Circle' (TAC) 2024/2025, semalam.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program yang bukan sahaja memperkukuh aspek keilmuan, tetapi turut menyuburkan hubungan spiritual dalam kalangan peserta dan warga kampus.
“Program sebegini telah memberi peluang kepada warga kampus untuk mendekatkan diri dengan al-Quran menerusi pendekatan tadabbur dan bimbingan rohani secara berkumpulan,” katanya.
Program anjuran Pusat Islam Kampus Kesihatan USM dengan kerjasama Sekretariat Rakan Masjid dan para nuqaba’ ini menghimpunkan seramai 157 peserta yang telah dibimbing oleh 21 orang nuqaba’ terdiri daripada staf USM serta fasilitator jemputan luar.
Shaiful Bahari turut berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan secara berterusan sebagai satu budaya kampus yang sihat dan membina, demi melahirkan warga yang seimbang dari semua aspek yang merangkumi fizikal, mental, seksual, sosial dan spiritual.
“Saya menyeru agar usaha mendekati al-Quran tidak terhenti dengan berakhirnya program ini, bahkan perlu diteruskan secara berterusan dan sebagai panduan hidup semua peringkat sama ada dalam aspek peribadi, akademik mahupun kerjaya.
“Pintu ilmu ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajarinya. Semoga program ini menjadi titik permulaan untuk kita semua menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan dan seterusnya dikongsikan manfaatnya bersama-sama ahli keluarga serta rakan-rakan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, salah seorang peserta yang ditemui, Wan Nur Bara’ah Wan Zulmajdi, menyatakan program ini telah memberikan impak positif kepada dirinya.
“Program yang telah bermula sejak November tahun lalu ini banyak membantu saya dalam memahami makna ayat al-Quran, cara bacaan yang betul di samping berkongsi refleksi tafsiran ayat bersama-sama rakan usrah yang lain.
“Ini merupakan salah satu cara untuk kita kembali kepada fitrah sebagai seorang muslim yang selama ini leka dengan urusan duniawi,” ujarnya.
Majlis ini juga turut diselitkan dengan penyerahan sijil kepada wakil peserta dan nuqaba’ program.
Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed; Timbalan Pengarah, Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abd Sattar @ Ismail dan Pengerusi Pertubuhan Ghulam Al Dakwah Selangor, Ustaz Abdul Muien Abdul Rahman.
Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 112