TEKNIK PENGURUSAN TINGKAH LAKU ATASI TANTRUM DALAM KALANGAN KANAK-KANAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 November 2023 - Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) melalui Pusat Transformasi (PT) OKU, Universiti Sains Malaysia (USM) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (PTOKU USM-MAIK) telah menganjurkan Bengkel Tantrum: Ketahui Teknik Pengurusan Tingkah Laku Kanak Kanak di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, hari ini.
Seramai 125 orang terdiri daripada pengusaha taska seluruh negeri Kelantan, Persatuan, Pusat Terapi, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan para ibu bapa mengikuti bengkel kali ini.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, bengkel ini merupakan platform pemindahan ilmu daripada universiti kepada masyarakat.
"Ini merupakan salah satu agenda USM sebagai sebuah universiti berstatus APEX dengan meletakkan golongan orang kelainan upaya (OKU) sebagai kumpulan sasaran utama.
"Penetapan ini juga sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030 serta sasaran ‘Sustainable Development Goal’ (SDG) Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu (PBB)," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program tersebut.
Shaharum berkata, bengkel yang berlangsung selama dua hari ini lebih memfokuskan kepada teknik pengurusan tingkah laku kanak- kanak.
"Pengurusan tingkah laku kanak-kanak amat penting kerana ia dapat menentukan potensi diri anak-anak itu sendiri seperti kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya’ dan ini merujuk kepada pentingnya membentuk kanak-kanak sejak dari kecil.
"Saya berharap agar bengkel ini mencapai matlamat dan semua peserta mendapat manfaat hasil perkongsian kepakaran dari USM dan dapat mengimplementasikan ilmu ini dalam tugas masing-masing," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim pula berkata, amat penting untuk ibu bapa dan guru-guru tadika mengetahui teknik rangsangan yang betul bagi mengurus kanak-kanak OKU yang mengalami masalah tingkah laku.
“Peserta didedahkan tentang ilmu mengenal pasti simptom-simptom dan teknik pengedalian yang betul terhadap kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku.
“Selain itu, peserta juga dibantu untuk membuat penilaian intervensi dan membina emosi positif dalam menangani kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku tantrum,” ujar beliau.
Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 559