TEKNOLOGI MODEN PACU TRANSFORMASI TINGKAH LAKU DAN DAYA TAHAN DALAM SUKAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Januari 2025 - Teknologi moden berperanan besar dalam meningkatkan kesihatan mental dan fizikal di samping memacu transformasi tingkah laku dan daya tahan individu, khususnya dalam dunia sukan yang semakin kompetitif.
Bertemakan 'Inovasi dan Kemajuan Teknologi dalam Psikologi Sukan dan Senaman Antarabangsa', topik ini menjadi tumpuan utama perbincangan dalam Seminar Antarabangsa Psikologi Sukan dan Senaman ke-12 yang berlangsung di Dewan Kuliah C, Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak berkata, cabaran global seperti lambakan maklumat dan pengaruh kecerdasan buatan (AI) kini menjadi tumpuan.
“Dalam situasi ini, ia memerlukan pendekatan baharu terhadap kesihatan mental melalui penyelidikan dan latihan psikologi yang komprehensif.
“Penganjuran seminar ini diharap dapat memupuk hubungan antara peserta tempatan dan antarabangsa selain memanfaatkan peluang untuk membina rangkaian kerjasama sosial dan budaya.
"Pastikan anda berinteraksi dengan sekurang-kurangnya dua (2) individu dari negara lain dan hubungan peribadi ini akan memperkaya pengalaman anda," katanya semasa merasmikan seminar tersebut.
Seminar yang bermula hari ini dan bakal melabuhkan tirai pada 22 Januari nanti mengumpulkan 17 penceramah terkemuka daripada negara luar iaitu Korea, Thailand, Taiwan, China, Indonesia, Arab Saudi, Zimbabwe.
Menurut Wan Rosli, seminar ini bukan sahaja memberi peluang untuk berkongsi pengetahuan saintifik terkini dalam bidang senaman dan sukan, tetapi juga membuka ruang kerjasama penyelidikan dan pertukaran akademik pada masa akan datang.
“Terima kasih kepada tetamu dari institusi-institusi yang terlibat dalam Memorandum Perjanjian (MoA) dengan USM iaitu Universiti Sains dan Teknologi Seoul (Korea Selatan), Universiti Naresuan (Thailand) dan Universiti Normal Nasional Taiwan (Taiwan).
“Saya memuji usaha keras jawatankuasa penganjur yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam memastikan kelancaran seminar ini serta berharap agar ilmu yang diperoleh melalui seminar ini akan memberi impak besar dalam meningkatkan prestasi dan kesejahteraan individu secara keseluruhan.
Hadir sama pada majlis perasmian seminar itu ialah Presiden Persatuan Psikologi Sukan Asia Pasifik (ASPASP), Profesor Dr. Youngho Kim dan Pengerusi Seminar Antarabangsa Psikolgi Sukan dan Senaman ke-12, Profesor Madya Dr. Garry Kuan Pei Ern.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 226