TENGKU PUAN TEMENGGONG KELANTAN SERIKAN MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI RUMAH RONALD MCDONALD HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 April 2025 – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) berlangsung meriah dengan kehadiran Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kehadiran Tengku Puan Temenggong Kelantan bukan sahaja menyerikan majlis, malah turut memberikan suntikan semangat kepada pesakit cilik yang sedang menerima rawatan serta keluarga mereka yang menginap di RRM HPUSM.
Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Tengku Puan Temenggong Kelantan dan delegasi Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) atas kesudian hadir dan menyokong kesejahteraan para pesakit serta keluarga mereka.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengurus RRM HPUSM, Nurul Wahida Harun dan seluruh warga kerja yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini.
"USM melalui HPUSM sentiasa komited menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Inisiatif seperti RRM amat bermakna dalam membantu keluarga pesakit kanak-kanak, khususnya yang memerlukan rawatan jangka panjang,” katanya.
Menurut Shaiful Bahari, kebanyakan ibu bapa terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka demi menjaga anak-anak yang sakit dan menerima rawatan di HPUSM.
“Kewujudan RRM memberikan sokongan bukan sahaja daripada segi penginapan, malah juga dari aspek emosi dan sosial,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa RRM HPUSM telah beroperasi lebih tiga tahun hasil kerjasama strategik antara USM dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan ke-17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian duit raya kepada 60 pesakit kanak-kanak HPUSM yang sebahagiannya turut menginap di RRM selain sesi ramah mesra bersama ibu bapa serta jamuan Aidilfitri yang menambahkan kemeriahan suasana.
Turut hadir ialah pakar dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain yang juga isteri kepada Pengarah Kampus Kesihatan dan Pengurus RRM HPUSM, Nurul Wahida Harun.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 6