TEROKA SEMPADAN BAHARU DALAM BIDANG KARDIOLOGI: USM TERUS PERKASA PENYELIDIKAN DAN KERJASAMA SERANTAU
KOTA BHARU, KELANTAN, 25 Oktober 2025 – Bertemakan ‘New Frontiers in Cardiology: Exploring the Unknown’, Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi dan kecemerlangan dalam bidang kardiologi melalui penganjuran persidangan ‘16th Asia Pacific Cardiology Update@USM (APCU) 2025’ di Hotel Perdana, hari ini.

APCU merupakan pentas terbaik untuk pakar-pakar jantung dalam dan luar negara membentangkan penemuan terbaharu dalam perawatan penyakit jantung selain berkongsi pengetahuan dalam kalangan petugas kesihatan berkenaan perkembangan dan penemuan terkini dalam bidang kardiologi seluruh dunia.

Perasmian persidangan tahunan anjuran bersama Persatuan Kardiologi Pantai Timur Malaysia (MECCS) dan ‘National Heart Association of Malaysia’ (NHAM) ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail mewakili Naib Canselor USM.

Menurutnya, tema pada tahun ini mencerminkan komitmen bersama semua pihak dalam memperkasa penjagaan kardiovaskular, menongkah cabaran baharu serta memastikan inovasi terkini sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

“Penyakit kardiovaskular kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia, merangkumi hampir 17 peratus (%) daripada keseluruhan kematian yang disahkan, selaras dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit sebanyak 25% menjelang tahun 2025.

“Sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan, kita bukan sahaja perlu berinovasi, malah harus memimpin dengan empati dan integriti bagi memastikan setiap pesakit menerima rawatan terbaik berasaskan bukti dan belas ihsan,” katanya.

Tambah Shaiful Bahari, persidangan APCU pada tahun ini menghimpunkan lebih 500 peserta dari seluruh Malaysia dan luar negara, termasuk dua (2) pakar antarabangsa yang dijemput khas untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam bidang kardiologi.

“Penyertaan aktif golongan muda seperti pegawai perubatan dan felo kardiologi turut mencerminkan masa depan yang cerah bagi bidang perubatan kardiovaskular di rantau ini.

“Selain itu, Unit Kardiologi, Hospital Pakar USM (HPUSM) baru-baru ini sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur kali yang pertama bagi merawat kebocoran injap mitral tanpa melakukan pembedahan dengan menggunakan ‘MitraClip Transcatheter Edge-To-Edge Repair (TEER) System’ melalui Bengkel Transcatheter Edge-to-Edge Repair (TEER).

“Penganjuran bengkel ini sekali gus mengukuhkan kedudukan HPUSM sebagai hab serantau dalam kecemerlangan akademik dan prosedur kardiologi,” jelasnya lagi.
Shaiful Bahari berkata, inisiatif seumpama ini telah meningkatkan reputasi HPUSM sebagai pusat kecemerlangan kardiologi, di samping memperkukuh peranan USM sebagai institusi akademik dan penyelidikan yang memacu kemajuan serta inovasi perubatan di rantau Asia Pasifik.

“Saya berharap agar kolaborasi ini dapat terus diperkukuh bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa bagi memastikan penjagaan kesihatan kardiovaskular yang saksama, berasaskan bukti dan berpusatkan pesakit dapat dicapai untuk semua.

“Semoga persidangan ini berfungsi sebagai platform yang memberi inspirasi kepada perkongsian baharu, memupuk minda muda dan memacu perubahan bermakna pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mantan Presiden National Heart Association Malaysia (NHAM), Profesor Dato’ Dr. Wan Azman Wan Ahmad; Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Mohd Yusof Md Akhir; Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Izani Wan Mohamed; Penasihat bersama '16th APCU 2025', Profesor Dato’ Dr. Zurkurnai Yusof dan Dato' Dr. Mohd Sapawi Mohamed serta Pengerusi '16th APCU 2025', Profesor Madya Dr. W. Yus Haniff W. Isa.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 173