Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

TERUS SUMBANGKAN HASIL PENYELIDIKAN DAN PRODUK BERMUTU KEPADA USM – SUKARI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Februari 2020 – “Pengurusan Tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM) merasa amat bangga dengan pencapaian ahli akademik yang tidak pernah jemu untuk menyumbangkan hasil penyelidikan dan produk bermutu serta bermanfaat bukan sahaja kepada USM tetapi juga turut memberi kebaikan kepada masyarakat,” demikian ucapan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim ketika merasmikan Hari Kecemerlangan Ortopedik yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, di sini.

4prof2.jpg

 

Menurut beliau, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) adalah antara pusat pengajian terbesar di USM dan bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti merangkumi aspek pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran di samping menyumbang dalam aspek penyelidikan yang dijalankan dalam pelbagai lapangan.

“Saya berharap pencapaian dan hasil usaha ini kelak akan menjadi pemangkin kepada pusat tanggungjawab yang lain bagi meningkatkan pencapaian dalam bidang masing-masing secara amnya seterusnya mengharumkan lagi nama Kampus Kesihatan USM di mata dunia.

Selain sambutan Hari Kecemerlangan Ortopedik, turut berlangsung adalah Majlis Syarahan Umum pelantikan empat profesor dari Jabatan Ortopedik, PPSP USM iaitu Profesor Dr. Mohd Imran Yusof,  Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman,  Profesor Dr. Wan Faisham Nu’man Wan Ismail dan Profesor Dr. Amran Ahmed Shokri.

 

4prof.jpg

 

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada keempat-empat profesor yang menyampaikan syarahan pada hari ini kerana pencapaian mereka dalam bidang pembedahan Ortopedik membanggakan Universiti serta turut membuka ruang dan anjakan paradigma baharu dalam mengukuhkan bidang ortopedik USM bukan sahaja di Malaysia malahan seantero dunia,” katanya
 
Sukari berharap agar kejayaan semua profesor hari ini dapat diteruskan oleh pensyarah-pensyarah muda yang lain untuk menjamin kelestarian Jabatan Ortopedik dan juga USM sekaligus membawa USM ke persada dunia.

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor merupakan wadah dunia akademik berkongsi kepakaran serta meningkatkan tahap kesarjanaan masing-masing selain merupakan medium bagi seseorang profesor mengetengahkan ilmu serta penemuan dalam penyelidikan untuk disebarluaskan kepada masyarakat umum.

 

4prof1.jpg

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah PRO Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur; Mantan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Anis Azniriza Zainol

  • Created on .
  • Hits: 169