Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

TERUSKAN USAHA MENJENAMAKAN HOSPITAL USM – NIK HISAMUDDIN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Januari 2023 – “Walaupun pelbagai pencapaian berjaya diraih, namun pastinya banyak lagi cabaran yang perlu ditempuhi untuk mengetengahkan nama Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) agar menjadi ‘branding’ yang diingati atau dikenali semua lapisan masyarakat,” demikian seruan Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.

Menurut beliau, warga Hospital USM haruslah bersama-sama menjaga imej dan reputasi Hospital USM agar nama Hospital USM sentiasa meniti di bibir masyarakat khususnya dalam aspek perkhidmatan dan rawatan.

TERUSKAN USAHA MENJENAMAKAN HOSPITAL USM NIK HISAMUDDIN

“Semua staf perlu memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada pesakit khususnya rakyat negeri Kelantan yang kebanyakannya merupakan pesakit tetap Hospital USM.

“Selain itu, kompetensi kerja juga harus dipertingkatkan melalui latihan yang berterusan bagi memperoleh hasil yang terbaik daripada tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya ketika menyampaikan perkongsian dan perancangan hala tuju Hospital USM dalam Majlis Bersama Pengarah Hospital USM yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

TERUSKAN USAHA MENJENAMAKAN HOSPITAL USM NIK HISAMUDDIN 2

Tambah Nik Hisamuddin, selaras dengan status APEX dimiliki oleh USM yang merupakan universiti perintis, intensif penyelidikan rentas bidang yang memperkasakan bakat masa depan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka, beliau menekankan agar warga Hospital USM sentiasa berada di landasan yang tepat untuk merealisasi agenda APEX.

“Agenda APEX perlu dihidupkan kembali agar seluruh warga Hospital USM sentiasa memberikan perkhidmatan dan bekerja berlandaskan sembilan teras APEX iaitu keilmuan, kemanusiaan, masa hadapan, kelainan, kelestarian, kesejagatan, kesejahteraan, pengorbanan dan perubahan.

TERUSKAN USAHA MENJENAMAKAN HOSPITAL USM NIK HISAMUDDIN 3

“Sifat kebersamaan dan kebertanggungjawaban perlu ada dalam diri semua staf terutama aspek imej dan ketrampilan, cara berkomunikasi dan berinteraksi, profesionalisme, fahami budaya organisasi dan perhubungan dengan pelanggan,” jelasnya lagi.

Nik Hisamuddin turut berkongsi pencapaian jabatan dan unit-unit di bawah Hospital USM bagi tahun 2022 sebagai penanda aras untuk menambahbaik prestasi dan menetapkan target baharu serta hala tuju tahun 2023 dalam majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang staf secara bermuka dan maya itu.

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah Pelancaran Buku Pelaporan Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) 2021-2022 dan Pelancaran Kod QR Tabung Kebajikan Pesakit Hospital USM.

TERUSKAN USAHA MENJENAMAKAN HOSPITAL USM NIK HISAMUDDIN 4

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Timbalan Pengarah Klinikal, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria, Timbalan Pengarah Operasi, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Bersama Pengarah Hospital USM, Mohd Saberi Mohd Yusof dan ketua-ketua jabatan serta unit Hospital USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 488