'THE FOUR SEASONS' SATUKAN DUA KAMPUS USM DALAM MALAM SENI PENUH MAKNA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Jun 2025 – Program Adikarma 'Campus Tour' 2025 yang bertemakan 'The Four Seasons' yang menampilkan persembahan seni melambangkan perubahan, keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan berlangsung penuh warna-warni dan meriah di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.
Program ini bukan sekadar meraikan keindahan seni persembahan malahan menjadi jambatan penghubung antara dua (2) kampus USM iaitu Kampus Induk dan Kampus Kesihatan yang disatukan melalui semangat perpaduan, kasih sayang, dan kecintaan terhadap warisan budaya bangsa.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, inisiatif ini selari dengan aspirasi USM dalam membentuk mahasiswa yang seimbang melalui atribut HEBAT iaitu bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kaya dengan nilai kemanusiaan, empati dan kreativiti.
“Seni merupakan bahasa jiwa yang menyentuh nurani, menyatukan perbezaan dan melangkaui sempadan bidang pengajian, bangsa, agama dan budaya.
"Ia adalah cerminan identiti serta kekuatan masyarakat yang berbudaya tinggi,” ujar beliau semasa merasmikan program tersebut.
Tambah Shaiful Bahari, kebudayaan adalah asas penting kepada kejayaan sesebuah bangsa dan sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan sesuatu bangsa berpaksikan kepada kekuatan tamadun yang berteraskan seni, budaya dan nilai murni yang diwarisi serta dipelihara dari generasi ke generasi.
"Selain menonjolkan bakat-bakat mahasiswa, program ini turut berjaya memupuk nilai-nilai murni seperti persahabatan, kerjasama dan rasa saling menghormati sebagai asas penting dalam membentuk komuniti kampus yang harmoni, inklusif dan saling menyokong.
"Saya berharap agar kerjasama antara Kampus Kesihatan dan Kampus Induk ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seni dan budaya pada masa akan datang," katanya lagi.
Shaiful Bahari turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk seluruh tenaga kerja penganjuran, para pelajar Kumpulan Kesenian Adikarma semua kampus dan juga individu di belakang tabir yang bertungkus lumus menjayakan program ini.
Turut hadir ialah Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan USM, Khairul Ithma Mahdi; Pengurus Kolaborasi dan Strategik Yayasan Perkasa Siswa merangkap Penasihat Utama Kumpulan Kesenian Adikarma, Zulkifli Che Hussin; Penasihat Kumpulan Kesenian Adikarma Kampus Kesihatan, Suriatina Mat Salleh dan Pengarah Projek Adikarma 'Campus Tour' 2025, Muhammad Syahmi Zafran Asnol Adzhan.
Teks: R. Alia Fazni R.Azmi / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 81