Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

'THE PURPLE ANGELS' NADI HPUSM, PENGGERAK KESEJAHTERAAN NEGARA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Mei 2025 – "Jururawat Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) atau ‘The Purple Angels' adalah nadi sistem kesihatan HPUSM dan pemacu kepada kesejahteraan negara”, demikian antara intipati ucapan Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani ketika merasmikan Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat HPUSM 2025 yang berlangsung meriah hari ini.

1000141776

Majlis yang diadakan di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM ini mengetengahkan konsep santai dan berjaya menghimpunkan lebih 200 jururawat HPUSM sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam sistem kesihatan negara.

1000141790

Tema sambutan tahun ini, ‘Our Nurses, Our Future: Caring for Nurses Strengthens Economies’, menekankan peranan penting jururawat bukan hanya sebagai pelaksana tugas, malah sebagai tunjang kepada sistem kesihatan yang mampan dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

1000141774

Ab Rahman Izaini dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga atas komitmen dan kecekalan para jururawat yang sentiasa berdedikasi walaupun bidang ini menuntut pengorbanan besar dari segi masa, tenaga dan emosi.

1000141775

“Tanpa jururawat, operasi hospital dan pusat kesihatan akan lumpuh. Sumbangan mereka bukan sahaja menyentuh kesejahteraan pesakit, malah menyokong pembangunan negara secara keseluruhan.

1000141777

“Inisiatif Jabatan Kejururawatan HPUSM yang memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti penubuhan Kelab Kebajikan Kejururawatan dan inisiatif ‘Happy Link, Happy Staff’ patut dipuji dan ianya disifatkan sebagai pendekatan proaktif dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan menyokong kesejahteraan mental serta emosi jururawat.

1000141784

“Saya juga memberi jaminan bahawa pihak pengurusan tertinggi akan sentiasa menyokong usaha meningkatkan kebajikan warga kerja terutama jururawat yang menjadi tonggak utama dalam perkhidmatan kesihatan di HPUSM,” katanya.

1000141785

Majlis sambutan ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai jasa jururawat, tetapi turut menyemai kesedaran tentang pentingnya menjaga kebajikan golongan ini demi kelangsungan sistem kesihatan yang berkesan dan berdaya tahan.

1000141782

Sementara itu, menurut Penyelia Jururawat, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Md Fadhil Mat Amin ketika ditemui dalam majlis tersebut berkata, jururawat sangat sinonim dengan jolokan ‘jantung’ kepada sistem kesihatan seantero dunia. Tanpa mereka nescaya tempanglah sistem ini.

1000141786

“Hari ini para jururawat diraikan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang merupakan petugas barisan hadapan negara yang sentiasa bersedia mencurah bakti dan khidmat kepada seluruh masyarakat di setiap ceruk rantau dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan.

1000141792

"Selari dengan kemajuan teknologi dalam sektor kesihatan, tahap pendidikan dalam kalangan jururawat turut seiring meningkat di mana kini sudah lahir jururawat berkepakaran khas yang mampu duduk setaraf dengan kepakaran lain dalam industri.

1000141794

"Pelbagai inisiatif mampu dilaksanakan oleh pihak pengurusan dengan mengutamakan kebajikan jururawat melalui dasar dan polisi yang memacu meningkatkan ekonomi jururawat khususnya dan universiti amnya,” ujar beliau.

1000141797

Sambutan Hari Jururawat tahun ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, 'Fun Walk', 'Explorace', dan cabutan bertuah.

1000141796

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi), HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Penolong Pendaftar Kanan, Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am mewakili Timbalan Pengarah (Pentadbiran), HPUSM, Norashikin Aziz; Ketua Jabatan Kejururawatan, HPUSM, Puan Norhayati Mohamad; Penyelia Jururawat merangkap Pengarah Program Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Hospital Pakar USM 2025, Puan Wahida Daud.

Teks: Mohd Hafiz Ya'acob & Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM)/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 129