USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 April 2022 - Pengumuman Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini merupakan satu berita yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dengan pengumuman tersebut seakan sedikit kebebasan diberikan di samping tetap mengekalkan penjagaan diri yang selamat, antara usaha mendidik masyarakat untuk terus patuh kepada SOP dan dalam pada masa yang sama mula mengamalkan kehidupan normal.
Keterujaan turut dirasai oleh warga kampus apabila Ramadan kali ini, Pusat Islam Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) kembali meriah setiap hari apabila warga kampus bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Islam Kampus Kesihatan, Ustaz Asheef Barkhia Yahya, juadah berbuka disediakan untuk agihan kepada pelajar, komuniti setempat yang terdiri daripada golongan asnaf, peneman pesakit Hospital USM serta kepada staf yang bertugas seperti Jururawat, Pengawal Keselamatan, Pemandu, Operator telefon.
"Syukur alhamdulillah dengan kelonggaran ini, ia memberi peluang kepada kita untuk mengembalikan semula budaya gotong-royong memasak juadah berbuka sebagaimana amalan sebelum COVID-19 melanda.
"Ianya berbeza berbanding dua tahun sebelum ini, penyediaan juadah berbuka agak terhad dan disediakan dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat," katanya.

Tambah Asheef, kira-kira 1,200 pek juadah berbuka dan 500 pek untuk sahur disediakan setiap hari dengan bantuan sukarelawan yang terdiri daripada staf, pelajar dan komuniti setempat secara bergilir-gilir.
"Aktiviti ini bermula seawal jam 8.00 pagi setiap hari dengan penyediaan keperluan barangan untuk dimasak, memasak, pembungkusan, pengagihan dan membasuh peralatan sehingga selesai sebelum waktu berbuka.
"Sumbangan yang diterima daripada warga kampus, orang perseorangan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) banyak membantu menampung perbelanjaan program ini ekoran kenaikan harga barangan mentah," ujar beliau yang bertanggungjawab menguruskan program tersebut.

Asheef berkata, dianggarkan sebanyak RM6,000 diperlukan setiap hari bagi penyediaan juadah yang meliputi pelbagai menu seperti gulai ayam, ayam masak lemak cili padi, acar timun, sambal, telur masin dan sebagainya.
"Kami juga amat berbesar hati menerima sumbangan sebanyak 200 pek makanan dari Yayasan al-Khairiah, Kubang Kerian bermula 1 hingga 10 Ramadan dan diagihkan kepada petugas di Hospital USM.

"Bagi pihak ahli jawatankuasa Ihya' Ramadan dan Kampus Kesihatan, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang sama ada dari segi wang ringgit, bahan mentah mahupun tenaga dalam memastikan program ini berjalan lancar dan dapat dinikmati oleh mereka yang memerlukan", jelas beliau lagi.
Selain daripada memasak juadah berbuka, Ihya' Ramadan turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang bulan Ramadan untuk warga kampus seperti Solat Sunat Tarawih, tazkirah Ramadan, serta qiamullail pada 10 malam terakhir.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman