TIBI: PENGESANAN AWAL DAN KEPATUHAN RAWATAN KUNCI UTAMA KAWALAN PENYAKIT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mac 2026 - Tuberkulosis atau lebih dikenali dengan ‘Tibi’ terus menjadi salah satu penyakit berjangkit yang memerlukan perhatian serius di Malaysia. Walaupun pelbagai langkah kawalan telah dilaksanakan sejak sekian lama, penyakit ini masih mencatatkan ribuan kes baharu setiap tahun dan kekal sebagai cabaran kesihatan awam yang signifikan.
Tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria ‘Mycobacterium tuberculosis’. Ia lazimnya menyerang paru-paru, namun boleh juga menjejaskan bahagian tubuh lain seperti otak, tulang, kelenjar limfa dan buah pinggang.

Jangkitan terhadap penyakit ini biasanya berlaku melalui udara apabila pesakit tibi paru-paru yang aktif batuk, bersin atau bercakap, lalu menyebarkan bakteria dalam bentuk titisan air yang boleh disedut oleh individu lain kerana risiko jangkitan meningkat dalam ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan.

Menurut Pakar Respiratori (Pulmonologi), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Mohd Jazman Che Rahim, golongan berisiko tinggi menghidap penyakit tibi ialah individu dengan sistem imun yang lemah seperti warga emas, pesakit diabetes, pesakit kanser, pesakit yang menghidap penyakit kronik, pesakit autoimun, pesakit ‘Human Immunodeficiency Virus’ (HIV), kanak-kanak yang tinggal serumah dengan pesakit tibi, perokok serta pesakit malnutrisi (kekurangan zat makanan).
“Faktor penuaan, penyakit kronik yang mengganggu imuniti badan serta gaya hidup tidak sihat turut meningkatkan kemungkinan jangkitan menjadi aktif.

“Dari segi gejala, tibi sering bermula dengan tanda yang tidak spesifik dan mudah diabaikan. Antara simptom utama ialah batuk berkahak yang berpanjangan melebihi dua (2) minggu, demam terutama pada waktu petang atau malam, berpeluh malam, hilang selera makan, penurunan berat badan serta keletihan berpanjangan.
“Batuk yang berlarutan lebih dua (2) minggu juga boleh dianggap sebagai tanda amaran dan memerlukan pemeriksaan lanjut di fasiliti kesihatan,” ujarnya ketika ditemu bual.

Mohd Jazman berkata, terdapat juga keadaan yang dikenali sebagai jangkitan laten tibi (tibi tidur), di mana bakteria berada dalam badan tetapi tidak aktif dan tidak menunjukkan simptom.
“Individu dalam kategori ini tidak berjangkit, namun berisiko menghidap tibi apabila bakteria tibi dalam badan menjadi aktif sekiranya sistem imun badan menjadi lemah.

“Pengesanan awal amat penting bagi mengelakkan penularan dalam komuniti. Individu yang mempunyai simptom penyakit tibi dinasihatkan melakukan pemeriksaan melibatkan ujian kahak dan ‘x-ray’ dada bagi mengesan bakteria dengan lebih cepat dan tepat,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa tempoh mendapatkan keputusan ujian bergantung kepada jenis ujian yang dijalankan, namun kebanyakan keputusan awal boleh diperoleh dalam masa beberapa hari.

“Rawatan tibi memerlukan pengambilan kombinasi antibiotik khas untuk tempoh sekurang-kurangnya enam (6) bulan.
“Kepatuhan terhadap rawatan adalah faktor paling kritikal dalam memastikan penyembuhan sepenuhnya.

“Pesakit yang gagal menghabiskan rawatan berisiko mengalami tibi rintang ubat (MDR-TB), iaitu keadaan di mana bakteria menjadi kebal terhadap ubat standard dan keadaan ini memerlukan rawatan lebih lama, lebih kompleks dan melibatkan kos yang lebih tinggi,” terangnya.
Menurut Mohd Jazman lagi, di Malaysia, rawatan tibi disediakan secara percuma di semua fasiliti kesihatan kerajaan.
“Dengan kepatuhan rawatan yang baik, kadar penyembuhan adalah tinggi dan majoriti pesakit boleh sembuh sepenuhnya.

“Namun begitu, beberapa cabaran masih wujud dalam usaha mengawal penyakit ini antaranya termasuk kelewatan mendapatkan rawatan, kegagalan mematuhi regimen ubat, penularan dalam komuniti padat serta kewujudan stigma terhadap pesakit tibi.
“Salah tanggapan dan rasa malu menyebabkan sesetengah individu menangguhkan pemeriksaan penyakit tibi sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain,” ujarnya.

Tambah Mohd Jazman, sebagai langkah pencegahan, individu dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya mengalami batuk berpanjangan, mengamalkan etika batuk yang betul, sentiasa memakai pelitup muka ditempat awam lebih-lebih lagi ketika tidak sihat, memastikan pengudaraan yang baik di rumah dan tempat kerja serta menjalani saringan jika terdedah sebagai kontak rapat pesakit.
“Amalan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, pemakanan seimbang, kawalan penyakit kronik dan rehat mencukupi juga membantu menguatkan sistem imun badan seseorang sekali gus mengelak dijangkiti tibi,” katanya lagi.
Mohd Jazman turut menyeru masyarakat agar tidak memandang ringan gejala awal tibi dan tidak berasa takut atau malu untuk mendapatkan rawatan.

“Tibi ialah penyakit berjangkit yang boleh dirawat dan disembuhkan sepenuhnya sekiranya dikesan awal dan dirawat dengan konsisten.
“Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa dan kepatuhan kepada rawatan boleh memutuskan rantaian jangkitan.

Bersama-sama kita mengawal dan seterusnya mengurangkan beban penyakit tibi dalam komuniti,”rayunya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 310