TIGA ENTITI UTAMA DIBERI MANDAT SEPADUKAN TINDAKAN INFRASTRUKTUR HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Jun 2025 – Peranan dan sinergi antara Pasukan Infrastruktur, Skuad Cakna serta Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) diketengahkan menerusi sesi ‘town hall’ yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), hari ini.
Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, pasukan infrastruktur merupakan tunjang utama kepada aspek teknikal dan penyelenggaraan harian hospital termasuk sistem elektrik, bekalan air, pendingin hawa serta keseluruhan struktur bangunan yang perlu sentiasa berada dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik.
“Bagi menyelaras tugas ini secara sistematik, Jawatankuasa Pasukan Petugas Infrastruktur HPUSM telah ditubuhkan untuk bertindak menyokong tugas pegawai infrastruktur memantau perjalanan projek, menghadiri lawatan tapak bersama JPPF dan menilai keberkesanan pelaksanaan.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan setiap projek yang dijalankan bukan sahaja siap mengikut jadual, malah memberi impak maksimum terhadap kelancaran operasi serta keselesaan warga kerja dan pesakit HPUSM,” katanya.
Tambah Ab Rahman Izaini, Skuad Cakna yang telah diwujudkan sejak Jun 2016 memainkan peranan yang sangat signifikan dalam mengekalkan persekitaran hospital yang kondusif seperti memastikan persekitaran hospital sentiasa bersih, kemas dan selamat, mengesan sebarang kerosakan atau kecacatan pada bangunan dan infrastruktur, mengelakkan kewujudan barangan rosak atau terbiar dan menjamin persekitaran kerja yang selamat untuk staf dan orang awam.
“Impak kerja Skuad Cakna bukan hanya kosmetik atau bersifat luaran semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan imej profesionalisme, keselamatan dan keyakinan pesakit terhadap perkhidmatan hospital.
“JPPF pula memainkan yang amat penting sebagai pemegang amanah dalam merancang dan mengurus pembangunan fasiliti HPUSM kerana melibatkan pelaburan kewangan yang besar daripada universiti mahupun agensi luar,” jelasnya lagi.
Kerjasama erat melalui komunikasi dua hala, sesi lawatan tapak dan perbincangan teknikal bersama JPPF membolehkan semua projek diselaraskan dengan keperluan klinikal dan standard semasa.
“Saya percaya, pendekatan kolaboratif antara ketiga-tiga entiti ini bakal menjadi pemangkin utama kepada suasana kerja yang lebih produktif, selamat dan kondusif di HPUSM.
“Matlamat kita ialah persekitaran dan fasiliti bertaraf tinggi bukan sahaja untuk pesakit dan pelawat, tetapi untuk semua warga kerja HPUSM,” katanya menutup ucapan beliau.
Turut berkongsi pandangan dan menyampaikan taklimat dalam ‘town hall’ tersebut ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Penyelaras Skuad Cakna, Dr. Mohd Amran Ab. Wahab dan Jurutera Kanan Awam, JPPF Kampus Kesihatan USM, Ir. Suwandie Makhtar.
Ketiga-tiga mereka menyampaikan perkembangan terkini pasukan masing-masing serta menjawab pertanyaan peserta yang berkisar tentang proses penyelenggaraan, kebersihan persekitaran dan pelaksanaan projek pembangunan baharu.
Sesi ‘town hall’ ini menjadi platform penting bagi memperkukuh kefahaman, menyelaras peranan dan memperkasa hala tuju dalam usaha membina fasiliti kesihatan yang unggul dan berdaya tahan.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 50