TIGA KAUM, SATU IMPIAN WARNAI KAMPUS KESIHATAN USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 September 2026 – Tiga (3) anak muda daripada latar belakang Melayu, Cina dan India melangkah ke Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dengan membawa satu impian yang sama iaitu menimba ilmu dalam bidang kesihatan dan suatu hari nanti menabur bakti kepada masyarakat.
Bagi Faten Qaira Sansuban, 19, dari Petaling Jaya, Nimissha Sathyamohan, 19, dari Selangor dan Chow Jun Hang, 19, dari Kuala Lumpur, kemasukan ke USM bukan sekadar menandakan permulaan kehidupan sebagai mahasiswa, malah menjadi titik tolak untuk merealisasikan cita-cita yang telah disemai sejak sekian lama.

Faten Qaira, yang mengikuti Program Doktor Perubatan, menyifatkan tawaran melanjutkan pengajian ke USM sebagai antara pencapaian paling bermakna dalam hidupnya selepas melalui pelbagai cabaran bersama keluarga.
“Saya masih ingat perasaan ketika pertama kali mengetahui saya mendapat tawaran ke USM. Saya sangat gembira dan dalam masa yang sama terharu kerana teringat segala usaha yang telah dilakukan bersama keluarga untuk sampai ke tahap ini.
“Minat terhadap bidang perubatan telah lama tumbuh dalam diri saya dan keinginan untuk memahami ilmu berkaitan manusia agar suatu hari nanti ia memberi manfaat kepada masyarakat menjadi antara dorongan utama untuk saya terus melangkah,” katanya.

Menurutnya, tiada seorang pun dalam keluarganya yang menceburi bidang perubatan kerana kebanyakan ahli keluarga memilih kerjaya sebagai jurutera dan anggota polis, sekali gus menjadikan perjalanan mengejar cita-cita itu sebagai satu pengalaman baharu buat dirinya.
“Saya perlu mencari rentak dan teknik yang sesuai untuk berjaya menggenggam segulung ijazah nanti.
“Dorongan daripada keluarga sentiasa ada dan mereka mengingatkan saya supaya terus berusaha. Saya datang ke USM dengan satu impian iaitu menjadi pakar bius.
“Saya mahu belajar bersungguh-sungguh, membina pengalaman dan menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, Nimissha Sathyamohan, yang turut mengikuti Program Doktor Perubatan, menyifatkan kemasukannya ke USM sebagai pengalaman yang amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
Katanya, berita menerima tawaran tersebut hadir dengan perasaan bercampur-baur antara gembira, terharu dan tidak percaya, namun beliau sedar perjalanan sebagai mahasiswa perubatan memerlukan kesungguhan dan ketabahan.
“Saya tahu perjalanan selepas ini bukan mudah, tetapi saya mahu gunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.
Menurut Nimissha, sokongan keluarga terutama ibunya menjadi sumber kekuatan ketika berdepan tekanan dan cabaran sepanjang perjalanan akademiknya.

“Ibu saya banyak memberi semangat kepada saya. Dia sentiasa mengingatkan supaya saya jangan mudah berputus asa dan terus berusaha walaupun keputusan yang diperoleh kadangkala tidak seperti yang diharapkan,” jelasnya.
Berasal dari Selangor, Nimissha turut melihat kehidupan baharu di Kelantan sebagai peluang untuk menimba pengalaman di luar suasana yang biasa dilaluinya.
“Selain memberi tumpuan kepada pengajian, saya turut berharap dapat melibatkan diri dalam aktiviti universiti dan kokurikulum.
“Saya berharap apabila tamat pengajian nanti dan mempunyai segulung ijazah, saya dapat menabur bakti dan memberi sumbangan kepada orang lain,” katanya.

Bagi Chow Jun Hang, 19, tawaran mengikuti Program Doktor Perubatan di USM pula disifatkan sebagai langkah penting dalam merealisasikan cita-citanya untuk bergelar seorang doktor.
Katanya, impian tersebut telah dipupuk sejak kecil dan beliau menyedari bahawa bidang perubatan menuntut pengorbanan, kesungguhan serta komitmen yang tinggi.

“Saya berhasrat untuk menjadi pakar kanak-kanak kerana saya ingin memastikan setiap anak mendapat penjagaan kesihatan yang terbaik demi masa depan mereka.
“Bagi saya, melihat senyuman dan keceriaan seorang kanak-kanak yang kembali sihat adalah satu kepuasan yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit,” ujarnya.
Kisah Faten Qaira, Nimissha dan Chow Jun Hang mencerminkan aspirasi generasi muda yang hadir ke Kampus Kesihatan USM bukan sahaja untuk mengejar kecemerlangan akademik, tetapi juga dengan tekad untuk menggunakan ilmu dan kepakaran yang diperoleh bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 111