KOTA BHARU, KELANTAN, 14 Mac 2022 - Prihatin terhadap kebajikan pelajar yang berdepan dengan pelbagai kesulitan seperti bencana alam atau kemalangan sentiasa menjadi agenda utama Universiti Sains Malaysia (USM).
Menerusi Misi Bantuan Kebajikan Pelajar dan Misi Bantuan Banjir USM Ke Pantai Timur, agihan barangan keperluan harian dan komputer riba telah disampaikan kepada pelajar daripada golongan B40 dan pelajar yang terjejas banjir pada Februari lalu.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), USM, Profesor Dr. Azlinda Azman, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) turun padang menyampai bantuan khas banjir kepada para pelajar USM yang terkesan banjir agar mereka tidak merasa bersendirian ketika diduga bencana alam tersebut.
"Selain itu, BHEPA turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada pelajar daripada golongan B40 bagi memastikan proses pembelajaran mereka tidak terjejas.
“Diharap sumbangan yang disampaikan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban para pelajar dan keluarga selain memberi semangat dan kekuatan agar mereka tidak rasa terbeban dan putus asa dengan ujian yang menimpa,” katanya.

Azlinda berkata, beliau turut berbincang dengan pengurusan BHEPA Kampus Kesihatan untuk proses menambah baik terutama dalam usaha membantu pelajar-pelajar USM secara keseluruhan dan tidak hanya fokus kepada pelajar di kampus induk sahaja.
Sementara itu, salah seorang pelajar, Putri Nurliyana Noordin, 23, dari Kampung Banggol Manok, Lati, Pasir Mas yang juga penerima Anugerah Dekan dua semester berturut-turut dalam program Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan ketika ditemui semasa penyerahan komputer riba di rumahnya, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada USM.

"Dengan adanya sumbangan komputer riba ini, ia memudahkan urusan pembelajaran saya selain turut menjadi penyuntik semangat untuk belajar dengan lebih tekun lagi.

“Saya akan menggunakan komputer riba ini dengan sebaiknya dan berharap agar dapat mencapai kejayaan yang lebih lagi pada masa akan datang," ujarnya.

Seorang lagi pelajar yang rumahnya terkesan banjir, Norelisha Mohd Zain, 22, dari Kampung Teluk Renjuna, Tumpat pula berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor HEPA kerana sudi berkunjung ke rumahnya bagi menghulurkan sumbangan.

“Saya sangat terharu atas sumbangan yang disampaikan untuk membantu meringankan beban keluarga saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas budi baik semua pihak,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua, Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera.
Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman