USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 September 2021 – Pengalaman mengendalikan antara 300 hingga 500 ujian calitan (swab test) sehari, tidak kira ketika hujan ataupun panas termasuk sewaktu berpuasa adalah antara cabaran yang dihadapi pasukan petugas di Klinik Saringan Infeksi (SRI-KRK), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
Meskipun sering berhadapan pelbagai cabaran getir, tugas tersebut tidak sedikitpun melunturkan semangat mereka, jauh sekali mengeluh atau berputus asa dalam menjalankan tugas yang diamanahkan sebaliknya terus melaksanakan tugas dengan komited dan dedikasi.
Pegawai Perubatan Klinik SRI-KRK, Dr. Muhammad Rashdan Roslan yang ditemui menceritakan pengalamannya memberitahu, pelbagai cabaran ditempuh dalam membuat saringan terhadap pesakit terutama ketika negara mula dilanda wabak COVID-19 pada Mac 2020.
“Pada masa itu tahap kesedaran orang awam tentang virus COVID-19 masih lagi rendah dan mentaliti kebanyakan masyarakat kita meminggirkan golongan yang dijangkiti virus ini termasuklah individu yang masih dalam siasatan sebagai kontak rapat.
“Sebagai petugas kesihatan, kami mengambil pendekatan secara turun padang, termasuklah dengan cara menyamar untuk mengesan golongan ini kerana mereka enggan hadir ke hospital untuk menjalani ujian calitan disebabkan tanggapan masyarakat sekeliling yang akan memulaukan kehadiran mereka nanti,” katanya.
Tambah Rashdan, lebih menyedihkan apabila ada sesetengah dari mereka memilih untuk melarikan diri dengan pergi ke rumah sanak- saudara bagi mengelak dijejaki oleh petugas kesihatan seperti kami tanpa memikirkan risiko berlakunya penyebaran virus kepada pihak lain yang tinggal bersama mereka.
Menurut Rashdan, walaupun ada ketikanya badan berasa letih dan kekurangan tenaga ekoran kepanasan akibat memakai peralatan perlindungan diri (PPE) terlalu lama, namun kepenatan itu hilang tatkala mendapat kerjasama daripada pesakit yang memudahkan proses ujian calitan ke atas mereka.
“Sudah menjadi asam garam bagi kami dilemparkan dengan kata-kata kesat bila meminta individu tersebut melakukan ujian calitan, dimarahi apabila mengeluarkan arahan kuarantin dan memakaikan gelang sehingga mereka tidak boleh bekerja atau keluar rumah, namun itu semua tidak menjadi kudis kepada kami.
“Ketika kadar kes harian di negeri Kelantan menunjukkan peningkatan sehingga empat angka setiap hari, kami perlu memastikan mental dan fizikal kami sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit dalam memastikan semua proses ujian dan rawatan berjalan dengan baik serta aspek keselamatan terjaga,” jelasnya lagi.
Rashdan yang juga graduan USM-KLE berkata, beliau sangat bersyukur kerana mempunyai rakan setugas yang sama-sama berganding bahu bekerja dalam pasukan tanpa mengenal erti penat lelah.
“Bila berhadapan dengan pesakit untuk melakukan ujian saringan, kebanyakan petugas akan fokus kepada tugas masing-masing sehingga sering terlupa untuk makan, membuang air dan apatah lagi berhenti rehat.
“Kami sangat mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk jujur ketika disaring kerana kejujuran anda membantu memudahkan pelaksanaan tugas kami sekaligus mengekang penularan wabak berbahaya ini,” ujar beliau lanjut.
Rashdan turut berpesan agar semua pihak lebih cakna dengan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta tidak memandang enteng ketika mengisi deklarasi risiko kerana kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam mengesan individu yang dijangkiti virus COVID-19.
“Jangan panik dan takut kerana ujian calitan sebenarnya membantu kita mengetahui status semasa badan sama ada sihat atau sebaliknya atau dikategorikan sebagai individu yang berpotensi untuk menjadi penyebar virus kepada orang lain.
“Jadilah individu yang mematuhi peraturan dan jangan mudah terpedaya dengan dakyah palsu yang disebarkan melalui media sosial sebaliknya rujuk kepada pihak yang lebih pakar,” rayu beliau lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman