USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Jun 2023- Ulang tahun keempat Rumah Ronald McDonald (RRM) Hospital USM hari ini diraikan bersama 53 keluarga pesakit yang menginap di rumah berkenaan.
Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof yang mewakili Pengarah Hospital USM dalam ucapannya berkata, RRM Hospital USM ditubuhkan sebagai kemudahan kepada keluarga pesakit kanak-kanak kategori B40 yang berumur 18 tahun ke bawah bagi memastikan mereka sekeluarga sentiasa bersama sepanjang tempoh anak mereka menerima rawatan di hospital.

“RRM Hospital USM dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh keluarga pesakit kanak-kanak yang mendapat rawatan di Hospital USM dan dijadikan sebagai ‘home away from home’ atau rumah kedua untuk semua keluarga pesakit terutamanya pesakit pediatrik.
“RRM Hospital USM telah membantu lebih 500 keluarga pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di Hospital USM sepanjang empat (4) tahun pengoperasiannya” jelasnya.

Imran turut berharap agar RRM Hospital USM bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga untuk mendapatkan tempat menginap ketika meneman anak-anak semasa mendapat rawatan di hospital, tetapi juga menjadi tempat untuk keluarga pesakit mendapatkan kekuatan psikologi dengan sokongan daripada keluarga-keluarga lain yang turut sama menemani anak mereka yang sakit.

Sementara itu, menurut salah seorang bapa pesakit kanak-kanak yang menginap di RRM Hospital USM, Mohamad Saiful Shafiq Rajaib, RRM sangat membantu memudahkan urusan perawatan anaknya kerana jarak rumah beliau dengan hospital agak jauh.
"RRM Hospital USM banyak membantu meringankan beban saya dan keluarga dari segi kos, masa dan tenaga kerana anak saya perlu menjalani tempoh rawatan yang lama.

"RRM Hospital USM menyediakan pelbagai kemudahan sepanjang kami menginap di sini seperti bilik tidur yang selesa, dapur, ruang makan, taman permainan, ruang menonton, surau dan banyak lagi," katanya.
Sempena ulang tahun keempat RRM Hospital USM, beberapa acara turut diadakan seperti pertandingan mewarna, senaman kanak-kanak (chicken dance) dan membentuk belon bersama pasukan RRM.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi RRM Hospital USM, Profesor Madya Dr. Che Maraina Che Hussin; Timbalan Dekan (Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan), Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan Pengurus RRM Hospital USM, Nurul Wahida Harun
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Foto: Amyrulhan Azhari