Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

'UPSKILLING PESARA' BANTU MANTAPKAN PERSEDIAAN BAKAL PESARA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 September 2020 - Seramai 106 orang peserta telah menyertai Program Persediaan Pesara dan Kelestarian Ekonomi (upskilling PESARA) yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan (PTi), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan, Kampus Kesihatan USM, Haji Yusoff Abdullah, program ini merupakan salah satu inisiatif universiti dalam mempersiapkan bakal pesara dengan kemahiran baharu.

SAVE 20200923 180620

"PTi telah membuat survei secara atas talian berkaitan program yang diperlukan oleh peserta dan ketiga-tiga program yang dijalankan hari ini adalah hasil pilihan tertinggi.

"Para peserta akan menjalani latihan di Kolej Komuniti Kok Lanas di bawah kelolaan tenaga pengajar kolej tersebut dan bagi pihak USM, saya merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada pihak Kolej Komuniti di atas kerjasama yang diberikan", ujar beliau.

SAVE 20200923 180629

Sementara itu, Ketua Penolong Pendaftar PTi, Kampus Kesihatan USM, Khairul Eruwan Abdul Halim pula berkata, terdapat tiga kategori program latihan yang ditawarkan iaitu Pembuatan Roti Manis dan Donut, Penanaman dan Produk Industri Kelapa serta Pertanian Kaedah Tanaman Hidroponik.

SAVE 20200923 180642

"Sepanjang sehari program berlangsung, peserta bukan sahaja belajar teori, malahan akan melakukan latihan praktikal serta bagi kursus yang melibatkan pertanian, peserta akan dibawa melawat projek di lapangan.

"Saya menyarankan staf agar merebut peluang yang disediakan oleh universiti untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang boleh dipraktikkan bagi memantapkan kemahiran sebagai persediaan melalui alam persaraan nanti," jelasnya.

SAVE 20200923 180653

Tambah Khairul Eruwan, memandangkan sambutan terhadap program ini begitu positif, PTi akan membuka peluang kepada staf kumpulan B40 dan staf yang berminat untuk menghadiri kursus kemahiran ini bagi siri akan datang.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Foto: Khairul Eruwan Abdul Halim

  • Created on .
  • Hits: 171