USM, UNMAS DENPASAR METERAI MoU PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK SAINS PERGIGIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Mahasaraswati Denpasar (Unmas Denpasar), Indonesia, dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan PPSG, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Pemeteraian MoU ini menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang sains pergigian dan pendidikan kesihatan, selaras dengan aspirasi USM untuk memperluas penglibatan di peringkat antarabangsa.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Dekan PPSG, Profesor Dr. Norhayati Luddin dan Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya, Alumni dan Hal Ehwal Pelajar) PPSG, Profesor Madya Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani bagi pihak USM manakala Unmas Denpasar pula diwakili oleh Dekan Fakultas Kedokteran Gigi, Dr. drg. Hervina dan Timbalan Dekan 1, Fakultas Kedokteran Gigi, Dr. drg. Kadek Lusi Ernawati.
Dalam ucapannya, Norhayati berkata, kerjasama ini membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif akademik dan penyelidikan, termasuk program mobiliti dan pertukaran pelajar, kolaborasi akademik dan kepakaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran bersama serta penyelidikan kolaboratif dan penerbitan ilmiah.

“Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi berpeluang berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam memperkukuh kualiti pendidikan serta penyelidikan, di samping memperluas pendedahan global dalam kalangan warga akademik dan pelajar.

“MoU ini juga akan menjadi asas kepada penerokaan dan pelaksanaan program-program kerjasama yang lebih khusus dan berimpak tinggi, yang boleh dimuktamadkan melalui perjanjian susulan berdasarkan terma yang dipersetujui bersama,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperluas jaringan antarabangsa serta memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan melalui kolaborasi global, sejajar dengan peranan universiti sebagai peneraju pendidikan dan kesihatan berteraskan kelestarian serta kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, Hervina pula menyatakan penghargaan atas kesediaan USM untuk menjalin kerjasama strategik bersama Unmas Denpasar dan menyuarakan keyakinan bahawa hubungan ini berpotensi menghasilkan manfaat bersama dalam aspek pembangunan akademik, penyelidikan dan pembangunan kapasiti.


“Kerjasama ini juga menjadi platform penting dalam mempromosi pertukaran ilmu, pertukaran pelajar, kefahaman budaya dan kerjasama berteraskan kepakaran demi manfaat institusi dan masyarakat secara keseluruhan.

“Semoga kolaborasi ini menjadi pemangkin untuk lebih banyak kerjasama lain antara USM dan Unmas Denpasar pada masa akan datang dalam usaha mendukung agenda kecemerlangan akademik dan kesejahteraan masyarakat serantau,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri–Komuniti), Ts. Dr. Norhayati Yusop dan Penyelaras Majlis MoU antara USM dan Unmas Denpasar, Dr. Umi Mardhiyyah Mat Ali.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 308