'USM ALLERGY AND SINUS WEEK 2025' TINGKATKAN KESEDARAN AMALAN PENCUCIAN HIDUNG YANG SELAMAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 September 2025 – Hidung memainkan peranan penting dalam menyamankan udara yang kita sedut dan mengekalkan badan yang bebas penyakit. Selain daripada menapis habuk, pencemaran dan alergen, ia juga merupakan barisan pertahanan pertama apabila badan menukar oksigen dan karbon dioksida dalam paru-paru.

Mengamalkan kebersihan hidung yang betul membantu memastikan bahagian dalam hidung sentiasa bersih dan lembap secukupnya.
Menyedari hakikat itu, Jabatan Otorinolaringologi - Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan program ‘USM Allergy and Sinus Week 2025’ bagi meningkatkan kesedaran amalan pencucian hidung yang mudah, selamat dan berkesan.

Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM berkata, penganjuran kursus ini bertepatan dengan keperluan semasa memandangkan masalah resdung dan alahan hidung semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

“Pendekatan sebegini adalah seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sentiasa komited bagi memastikan rakyat bukan sahaja menerima rawatan ketika sakit tetapi turut diberi bimbingan untuk kekal sihat sepanjang hayat.

“Inisiatif ini juga amat bertepatan dengan visi USM dalam mendukung kesejahteraan komuniti melalui pendidikan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Tambah Wan Rosli, program seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran awam malah mencerminkan komitmen USM dalam menyediakan perkhidmatan perawatan kesihatan yang menyeluruh, bersepadu dan berteraskan nilai kemanusiaan.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan dan penyelidikan yang unggul, USM sentiasa berusaha menawarkan rawatan terbaik dalam bidang ini, termasuk rawatan ubat-ubatan dan juga pembedahan sinus endoskopik yang selamat serta berkesan.

“Saya percaya program seperti ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan klinikal para peserta, malah turut mengeratkan kerjasama antara pelbagai lapisan profesional kesihatan,” ujarnya lagi.

Wan Rosli merakamkan penghargaan kepada Jabatan ORL-HNS, PPSP USM atas inisiatif menganjurkan program ini selain turut memuji usaha jawatankuasa penganjur dalam menghasilkan video pendidikan kesihatan yang diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut hadir ialah Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Ketua Jabatan, Jabatan ORL-HNS PPSP USM, Profesor Dr. Ramiza Ramza Ramli dan Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad.
Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 289