USM ANJUR ‘BRAIN AWARENESS WEEK 2026’, TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN OTAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 April 2026 - Otak manusia merupakan pusat kawalan utama yang membentuk cara seseorang berfikir, bertindak, membuat pertimbangan serta berinteraksi dengan persekitaran.

Sehubungan itu, pemahaman mengenai fungsi dan kesihatan otak kini bukan lagi terbatas kepada bidang sains dan perubatan semata-mata, sebaliknya menjadi keperluan asas dalam usaha membina masyarakat yang sihat, berpengetahuan serta berdaya tahan menghadapi cabaran dunia moden.
Kesedaran terhadap kepentingan kesihatan otak dan kesejahteraan mental juga perlu dipupuk sejak awal bagi memastikan keseimbangan antara kecerdasan intelektual, emosi dan sosial dalam kalangan masyarakat.

Menyedari hakikat tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) mengambil inisiatif menganjurkan Program ‘Brain Awareness Week 2026’, hari ini.
Program bertemakan ‘Explore the Brain and Mind’ itu menghimpunkan pelajar sekolah menengah dan rendah, mahasiswa serta komuniti umum dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai fungsi otak dan kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan seharian.

Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan, Jabatan Neurosains PPSP USM, Profesor Dr. Zamzuri Idris mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen, kepakaran serta sokongan berterusan dalam menjayakan program tersebut.

Menurutnya, kerjasama erat antara institusi akademik, industri dan komuniti merupakan asas penting dalam memastikan penyebaran ilmu dapat dilaksanakan secara lebih inklusif dan memberi impak tinggi kepada masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah berperanan mendekatkan bidang neurosains kepada masyarakat melalui pendekatan yang interaktif, inklusif dan mudah difahami oleh semua lapisan umur.

“Fungsi otak memainkan peranan penting dalam setiap aspek kehidupan manusia termasuk dalam membuat keputusan, mengawal emosi serta proses pembelajaran,” katanya.
Zamzuri turut menegaskan bahawa penganjuran program seumpama ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan platform berterusan dalam memperkasa ilmu dan pembangunan insan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek kesihatan yang baik dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti serta pengukuhan kerjasama strategik antara universiti, komuniti dan industri.

“Saya juga berharap agar usaha memperkasakan literasi sains dan kesedaran terhadap kesihatan otak diteruskan secara berterusan demi melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera,” ujarnya lagi.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains Kelantan Chapter ini turut mendapat tajaan daripada International Brain Research Organization dan Dana Foundation.

Pelbagai aktiviti disusun sepanjang program ini berlangsung termasuk ceramah berkait fungsi otak, kesihatan mental dan amalan gaya hidup sihat; sesi lawatan ke makmal untuk memberi pendedahan kepada dunia penyelidikan sebenar; pameran pendidikan yang memperkenalkan asas neurosains melalui bahan visual, model otak serta aktiviti interaktif yang sesuai untuk pelajar dan orang awam; pertandingan kreatif seni minda dan kraf kreatif otak; pertandingan syarahan dan pertandingan poster.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 153