USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 November 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mencapai kata sepakat untuk memperkukuh kerjasama dua hala khususnya dalam aspek kesihatan.
Keputusan itu dicapai sempena lawatan kerja Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh ke Kampus Kesihatan USM bagi membincangkan hala tuju terkini pasukan 12 Kompeni Medan Perubatan Askar Wataniah (AW) Kampus Kesihatan USM.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam ucapannya merakamkan jutaan terima kasih kepada ATM kerana USM merupakan universiti tunggal yang dipilih untuk menempatkan anggota Kor Kesihatan DiRaja (KKD) ATM.
”Perbincangan pada hari ini lebih menumpukan kepada perancangan yang akan dilakukan bagi memastikan pasukan 12 Kompeni Medan Perubatan AW memenuhi aspirasi USM dalam membantu merawat pesakit yang memerlukan.
“Penglibatan anggota pasukan 12 Kompeni Medan Perubatan AW Kampus Kesihatan diharap dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan rancangan pembangunan kesihatan negara khususnya memberi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada komuniti setempat dan seluruh warga ATM,” ujarnya.
Tambah Shaiful, 12 Kompeni Medan Perubatan AW telah hampir 18 tahun beroperasi di Kampus Kesihatan USM dan menjalankan pelbagai aktiviti serta latihan mengikut modul dan silibus yang telah ditetapkan merangkumi ilmu ketenteraan, perubatan serta melaksanakan khidmat komuniti sebagai tonggak simpanan KKD.
“Kami juga sepakat untuk mengekalkan kerjasama yang bermula sejak tahun 2004 ini dengan menambahbaik beberapa keperluan seperti laluan kerjaya, perjawatan, pelan jangka pendek serta jangka panjang dan sebagainya.
“Selain itu, pelbagai rancangan telah dirangka untuk menambahbaik struktur pentadbiran pasukan 12 Kompeni Medan Perubatan AW Kampus Kesihatan agar berada di landasan yang sepatutnya selain turut memperkemas konsep ke arah melahirkan rejimen perubatan pakar,” jelasnya lagi.
Turut hadir ialah Pembantu Ketenteraan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Mejar Dr. Noor Baizura Zainol Abidin; Pegawai Sukarela 12 Kompeni Medan Perubatan AW Kampus Kesihatan, Kapten Mohd Nasrom Mohd Nawi dan Leftenan Muda Dr. Mohd Zurairie Mohd Zubir serta pegawai-pegawai KKD ATM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.