USM DAN DENTSPLY SIRONA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK TINGKAT KUALITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Julai 2025 - Kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dentsply Sirona Malaysia Sdn. Bhd. diperkukuhkan lagi melalui penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memberi tumpuan kepada sokongan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran pelajar prasiswazah dan pascasiswazah pergigian.
Majlis penandatanganan itu disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya, Alumni dan Hal Ehwal Pelajar), PPSG USM, Profesor Madya Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani bagi pihak USM manakala Dentsply Sirona Malaysia Sdn. Bhd. diwakili Pakar Jualan, Lim Chun Hwa dan Wakil Jualan, Muhammad Yusuf Abdul Rashid.
Menurut Norhayati, kerjasama ini selari dengan aspirasi USM untuk memberikan pendedahan teknologi dan teknik klinikal terkini kepada pelajar, sekali gus memperkasa kemahiran praktikal mereka agar selaras dengan kehendak industri serta keperluan pesakit masa kini.
“USM amat menghargai komitmen Dentsply Sirona dalam menyokong pembangunan pendidikan pergigian.
"Sumbangan peralatan endodontik moden oleh Dentsply Sirona kepada PPSG bukan sahaja melengkapkan latihan klinikal dan penyelidikan pelajar, malah membolehkan mereka menguasai penggunaan teknologi setaraf amalan industri sebenar,” katanya.
Beliau menambah, setiap pelajar prasiswazah PPSG perlu menyempurnakan sekurang-kurangnya empat (4) rawatan saluran akar (root canal treatment) sebelum bergraduasi.
"Dengan purata sekitar 50 pelajar setiap tahun, lebih 200 rawatan endodontik perlu dilaksanakan secara tahunan.
“Jumlah ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap rawatan endodontik. Maka, penyediaan peralatan moden amat penting bagi memastikan keberkesanan rawatan serta memperluas perkhidmatan kepada komuniti, khususnya di Kelantan,” jelasnya lagi.
Norhayati berkata, kerjasama ini juga menyokong matlamat keempat Agenda Pembangunan Mampan (SDG 4), iaitu menjamin akses kepada pendidikan berkualiti dan inklusif untuk semua.
Sementara itu, bagi pihak Dentsply Sirona Malaysia Sdn. Bhd., Lim Chun Hwa menyatakan penghargaan atas jalinan kerjasama ini dan menyifatkannya sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan dengan USM ke peringkat yang lebih tinggi.
"Dentsply Sirona merupakan syarikat global terkemuka dalam pembekalan produk dan teknologi pergigian, termasuk bidang endodontik, prostodontik dan ortodontik.
"Melalui kolaborasi ini, manfaat bukan sahaja diperoleh para pelajar dan tenaga akademik, malah juga masyarakat menerusi perkhidmatan pergigian yang lebih efisien dan berkualiti tinggi," katanya.
USM kekal komited dalam memainkan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif dan terbuka kepada kerjasama strategik demi memperkasa sistem pendidikan negara dan meningkatkan impak kepada komuniti.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Penyelaras MoA antara Dentsply Sirona Malaysia Sdn. Bhd. dan USM, Dr. Mohamad Syahrizal Halim serta para penyelidik yang terlibat dalam kerjasama ini.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 153