Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM JADI PILIHAN BUKTI PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Oktober 2021 – Demi bergelar seorang doktor perubatan, seorang bekas Ahli Perniagaan, Ng Jet Kwan, 53, sanggup bersusah payah diusianya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Jet Kwan merupakan antara 580 pelajar yang mendaftar diri di Kampus Kesihatan USM bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama termasuk program Sarjana Muda Doktor Perubatan bagi sidang akademik 2021/2022.

239403c2 aff7 49f0 9f15 abc4904d1e47

Beliau merupakan calon kemasukan pelajar melalui saluran khas terus ke tahun tiga setelah layak membuat pemindahan kredit hasil pengajiannya selama dua tahun di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta dalam bidang yang sama.

Menurut Jet Kwan, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan impiannya bergelar doktor selepas kedua-dua anaknya tamat pengajian dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Australia dan Peguam di London.

“Tanggungjawab saya untuk memastikan anak-anak tamat pengajian dan kini mampu berdikari serta sudah berkerjaya membuatkan saya nekad memilih untuk kembali menyambung pelajaran walaupun sudah berusia lebih 50 tahun.

2e7762a5 de3d 435a bfd8 92574d19fde9

“Saya memilih bidang perubatan di USM kerana USM merupakan sebuah universiti yang turut menawarkan komponen penyelidikan selain ilmu klinikal dan saya akan menggunakan peluang ini bersama ilmu yang saya pelajari apabila telah bersara nanti.

Tambah Jet Kwan, walaupun terpaksa bersaing dengan golongan muda yang mampu digelar anak, ia tidak sedikitpun mematahkan semangat beliau untuk meneruskan pengajian yang dijangka tamat dalam tempoh tiga tahun.

SAVE 20211020 193339

"Saya akan menggunakan peluang yang diberi ini sebaik mungkin untuk menghabiskan pengajian mengikut masa yang ditetapkan dan berharap agar ilmu yang diperoleh dapat digunakan bagi memberi perkhidmatan kepada golongan memerlukan satu hari nanti.

"Faktor usia bukan halangan untuk saya menuntut ilmu walaupun daya ingatan saya sudah sedikit merosot berbanding golongan muda, namun peluang ini akan saya gunakan sebaiknya untuk menjadi insan berilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara," jelasnya lagi.

SAVE 20211020 193359

Kampus Kesihatan USM menawarkan 13 program pengajian peringkat ijazah pertama di tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 325