USM KOMITED TANGANI ISU KESIHATAN MENTAL, SERU MASYARAKAT HAPUS STIGMA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Oktober 2025 – Kegagalan melaksanakan pengurusan kesihatan mental dengan betul serta kurangnya pendedahan mengenai risiko jika masalah mental tidak dirawat boleh membawa kesan serius kepada individu, keluarga dan masyarakat.

Tanpa intervensi awal, isu seperti stres, kemurungan dan keresahan berpotensi berkembang menjadi gangguan mental kronik yang menjejaskan fungsi harian, hubungan sosial serta prestasi akademik atau kerjaya.
Lebih membimbangkan, situasi ini boleh mencetuskan tingkah laku berisiko seperti penyalahgunaan bahan terlarang, pengasingan diri, tindakan agresif dan kecenderungan mencederakan diri atau cubaan bunuh diri.

Menurut Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, kita bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal, tetapi juga kesihatan mental yang sering diabaikan sedangkan ia mempengaruhi emosi, tingkah laku, hubungan sosial dan prestasi kerja.
"Dalam dunia moden yang penuh tekanan dan ketidaktentuan, sokongan terhadap kesejahteraan mental menjadi semakin penting bukan sahaja dalam kalangan pesakit, tetapi juga petugas kesihatan dan komuniti secara menyeluruh.

"Menurut dapatan 'National Health and Morbidity Survey' (NHMS) 2023, jumlah penduduk negara yang mengalami kemurungan meningkat dua (2) kali ganda berbanding tahun 2019, dan hampir separuh daripada mereka pernah berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri," katanya ketika merasmikan Karnival Kesihatan Mental Sedunia 2025, di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Tambah Ab Rahman, NHMS 2023 turut melaporkan bahawa satu (1) daripada enam (6) kanak-kanak berusia lima (5) hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental dan beban isu tersebut meningkat dua (2) kali ganda sejak tahun 2019, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak terhadap intervensi awal dan sokongan kesihatan mental di peringkat komuniti.
“Saya difahamkan bahawa Jabatan Psikiatri Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM secara konsisten menganjurkan Karnival Kesihatan Mental sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober setiap tahun, dan komitmen ini sangat membanggakan.

“Usaha murni yang digerakkan oleh staf, pelatih dan sukarelawan jabatan ini wajar dihargai kerana mereka bukan sahaja bertanggungjawab merawat pesakit, malah turut membantu menghapuskan stigma terhadap penyakit mental,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, stigma dan salah faham masyarakat sering menjadi penghalang utama bagi individu mendapatkan bantuan, menyebabkan ramai yang memilih untuk memendam masalah sehingga menjejaskan kehidupan mereka.

"Kesihatan mental bukan tanda kelemahan, sebaliknya merupakan aspek keberanian kerana ia menuntut seseorang mengenal diri sendiri, mengurus emosi dengan baik dan berani mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
“Program seperti Karnival Kesihatan Mental ini membawa mesej yang jelas bahawa langkah kecil seperti amalan kesedaran diri dan sokongan sosial boleh memberi kesan besar terhadap keseimbangan emosi dan ketenangan minda,” jelasnya.

Menurut Ab Rahman lagi, karnival ini bukan sekadar acara tahunan tetapi berkembang sebagai sebuah gerakan berterusan untuk memupuk komuniti penyayang, prihatin dan saling menyokong dalam isu kesihatan mental.
“Saya menyeru semua warga USM dan masyarakat agar menjadikan amalan 'mindfulness', empati dan sokongan sosial sebagai budaya hidup seharian kerana kesejahteraan mental adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Karnival Kesihatan Mental Sedunia 2025 yang berlangsung hari ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran kesihatan mental, ceramah interaktif, bengkel pengurusan emosi, saringan kesihatan mental, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan aktiviti 'Mindful Walk' sebagai simbolik perjalanan ke arah kehidupan lebih sejahtera.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Unit Fotografi UKAST.
- Created on .
- Hits: 322