Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM METERAI KERJASAMA PENYELIDIKAN BERSAMA 23 CENTURY INTERNATIONAL LIFE SCIENCE CENTRE DALAM BIDANG PERUBATAN REGENERATIF

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranan sebagai institusi penyelidikan terkehadapan apabila memeterai Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (Research Collaboration Agreement) bersama 23 Century International Life Science Centre dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Bilik Persidangan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, hari ini.

1000267216

Majlis tersebut disempurnakan oleh Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan (Libatsama-Industri, Komuniti dan Pembangunan) PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud bagi pihak USM manakala 23 Century International Life Science Centre pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas dan Ketua Saintis syarikat berkenaan, Dr. Angelina Tiah dan Pengarah Urusan, Datuk Seri Dr. David Mah.

1000267206

Kamarul Aryffin dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang perubatan regeneratif khususnya bagi menangani isu luka kronik diabetes, menerusi projek penyelidikan bertajuk ‘Evaluation of Mesenchymal Stem Cell-Derived Secretome as a Therapeutic Agent for Chronic Diabetic Wounds’ yang diketuai oleh Dr. Nur Azida Mohd Nasir bersama pasukan penyelidik daripada Unit Sains Rekonstruktif, PPSP USM.

1000267208

“Kerjasama tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh penyelidikan kolaboratif antara akademia dan industri, sejajar dengan keperluan untuk menghasilkan penyelesaian kesihatan yang inovatif dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

“Luka kronik diabetes merupakan antara cabaran utama kesihatan awam yang memberi kesan besar terhadap kualiti hidup pesakit serta kos rawatan jangka panjang.

1000267214

“Justeru, penyelidikan ini amat signifikan dalam meneroka pendekatan terapeutik yang lebih selamat, berkesan dan inovatif,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan ‘mesenchymal stem cell (MSC)-derived secretome’ sebagai pendekatan terapi bebas sel dilihat berpotensi besar dalam mempercepatkan proses penyembuhan luka, merangsang pembaikan tisu dan meningkatkan proses regeneratif.

1000267218

“Melalui perjanjian ini, 23 Century International Life Science Centre akan menyumbangkan bahan ‘MSC-derived secretome’ secara ‘in-kind’ dengan nilai anggaran sebanyak RM100,000 bagi menyokong pelaksanaan penyelidikan berkenaan.

“Sumbangan ini mencerminkan komitmen tinggi pihak industri terhadap pembangunan penyelidikan saintifik, amalan penyelidikan beretika dan penambahbaikan pengurusan luka kronik,” jelasnya lagi.

1000267204

Menurut Kamarul Aryffin, kerjasama ini turut membuka peluang kepada penyelidik USM untuk menterjemahkan kepakaran akademik kepada aplikasi praktikal yang relevan dengan keperluan industri dan masyarakat, di samping membolehkan rakan industri memperoleh dapatan penyelidikan berasaskan bukti yang berkualiti tinggi.

“USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 23 Century International Life Science Centre atas kepercayaan yang diberikan sebagai rakan penyelidikan strategik serta mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelidik atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan penyelidikan berimpak tinggi ini.

“Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif penyelidikan strategik pada masa hadapan, khususnya dalam bidang perubatan regeneratif, inovasi kesihatan dan pembangunan ilmu demi kesejahteraan masyarakat sejagat,” ujarnya.

1000267210

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas dan Ketua Saintis 23 Century International Life Science Centre, Dr. Angelina Tiah pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama strategik bersama USM yang mempunyai kepakaran kukuh dalam bidang penyelidikan perubatan dan klinikal.

1000267212

“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen pihak industri dalam menyokong pembangunan penyelidikan berasaskan bukti serta pemindahan teknologi yang berpotensi untuk diterjemahkan kepada aplikasi klinikal dan produk kesihatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

1000267202

“Penyelidikan berkaitan ‘MSC-derived secretome’ ini berpotensi membuka ruang baharu dalam rawatan luka kronik diabetes melalui pendekatan terapeutik yang lebih selamat dan berkesan.

“Kami percaya gabungan kepakaran akademik USM dan pengalaman industri pihak kami mampu menghasilkan dapatan penyelidikan yang signifikan serta berimpak tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini dapat memperkukuh ekosistem penyelidikan antara akademia dan industri, di samping menjadi platform untuk meneroka peluang inovasi dan pembangunan produk dalam bidang perubatan regeneratif pada masa hadapan.

1000267220

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan (USM-KLE), Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah; Pengurus Pembangunan Perniagaan (Antarabangsa dan Domestik), 23 Century International Life Science Centre, Louis Aw; Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif, PPSP USM, Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar dan Penyelaras Majlis Menandatangani ‘Research Collaboration Agreement’ antara 23 Century International Life Science Centre dan USM, Dr. Nur Azida Mohd Nasir.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 127