Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM METERAI KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA SOFEA MEDIDENT HEALTHCARE SDN BHD

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) terus memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, khususnya dalam bidang sains pergigian dan pendidikan kesihatan apabila memeterai perjanjian kerjasama (Collaboration Agreement) bersama Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd, hari ini.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 6

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail mewakili Naib Canselor USM dan Dekan PPSG USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin bagi pihak USM manakala Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Dr. Muhamad Shahid Dato’ Dr. Izani dan Dr. Nuurul Aqilah Dato’ Dr. Izani.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 1

Shaiful Bahari dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menekankan kepentingan jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri dalam memastikan kelangsungan ekosistem pendidikan yang relevan, dinamik dan berdaya saing.

“Perjanjian ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk meneroka peluang baharu dalam pembangunan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 2

“Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam penganjuran program ‘Sijil Pembantu Pergigian’, yang dijangka memberi nilai tambah dari segi pengetahuan, kemahiran praktikal serta kebolehpasaran dalam bidang penjagaan kesihatan pergigian.

“Inisiatif ini sejajar dengan keperluan semasa industri yang menuntut tenaga kerja yang terlatih, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran perkhidmatan kesihatan yang semakin kompleks,” katanya.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM

Menurut Shaiful Bahari, perjanjian ini juga akan menjadi asas kepada penerokaan pelbagai bentuk kerjasama lain pada masa hadapan, termasuk pembangunan program latihan, penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran.

“Segala bentuk kerjasama ini akan dimuktamadkan melalui perjanjian khusus dengan terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 5

“Majlis pada hari ini bukan sekadar simbolik kepada pemeteraian satu perjanjian, tetapi merupakan manifestasi kepada satu visi bersama dan komitmen jangka panjang ke arah kecemerlangan, inovasi dan kelestarian dalam pendidikan tinggi.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 8

“Saya berharap agar kerjasama ini dapat membina jambatan kukuh antara institusi dan industri, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti serta penerokaan idea baharu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar dan penyelidik, malah kepada masyarakat secara keseluruhannya,” jelasnya lagi.

Shaiful Bahari turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd, Hannan Medispa Sdn Bhd serta Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) atas komitmen dan kesediaan dalam menjayakan inisiatif kerjasama ini.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 4

Sementara itu, Pengarah Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd, Dr. Muhamad Shahid Dato’ Dr. Izani, pula berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama strategik bersama USM yang disifatkan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka dalam bidang kesihatan.

“Kolaborasi ini membuka peluang kepada pihak industri untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan modal insan yang berkualiti serta memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor penjagaan kesihatan pergigian.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 7

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada klinik-klinik pergigian swasta, malah berupaya melahirkan pembantu pembedahan pergigian yang lebih kompeten, berkemahiran dan bersedia untuk memenuhi kehendak industri,” katanya.

Tambah beliau, Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd komited untuk bekerjasama rapat dengan USM dalam memastikan pelaksanaan program ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.

WhatsApp Image 2026 05 03 at 12.46.32 PM 9

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Hannan Medispa Sdn Bhd, Dr. Mohd Hannan Mohd Yusof; Pegawai Pembangunan Sosio Ekonomi mewakili Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhammad Aiman Hamat; Penyelaras Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (Collaboration Agreement) antara USM dan Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd, Profesor Madya Dr. Nur Karyatee Kassim serta delegasi dari Sofea Medident Healthcare Sdn Bhd, Hannan Medispa Sdn Bhd dan MAIK.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 159