USM - OH DIGITAL SOLUTION JALIN KERJASAMA PERKASA TEKNOLOGI 'AI' DAN 'VR'
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan OH Digital Solution Sdn. Bhd. untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri.
Pemeteraian itu membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama memperkukuh penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan pemerkasaan bakat dalam membentuk generasi masa hadapan yang lebih cemerlang sekali gus bersedia menghadapi pelbagai keadaan sosioekonomi yang kompleks serta sentiasa berubah.

Penandatanganan MoU tersebut disempurnakan Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Dr. Norhayati Luddin mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya, Alumni dan Hal Ehwal Pelajar) PPSG, Profesor Madya Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani bagi pihak USM manakala OH Digital Solution Sdn. Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Rohazzuan Abdul Azit dan Ketua Pegawai Operasi, Dr. Shawaludin Husin.

Norhayati dalam ucapannya berharap agar inisiatif ini dapat memperluas penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), simulasi digital dan realiti maya (VR) dalam latihan keselamatan dan kemahiran secara berulang dalam persekitaran terkawal, sekali gus meningkatkan kecekapan dan meminimumkan risiko dalam situasi sebenar.
“Teknologi turut berperanan dalam memantau aspek psikososial pekerja yang semakin diiktiraf dalam kesihatan pekerjaan moden.

“Manakala kesihatan pergigian yang berkait rapat dengan kesejahteraan dan produktiviti tenaga kerja menjadikan intervensi di tempat kerja khususnya dalam sektor berisiko tinggi semakin penting.
“Sehubungan itu, MoU ini menandakan pelaksanaan saringan kesihatan berkala berasaskan digital termasuk teledentistri dan pemantauan risiko bagi meningkatkan akses rawatan awal serta mengurangkan kos dan kehilangan masa akibat masalah kesihatan,” katanya.

Norhayati turut menjelaskan bahawa kerjasama ini membuka ruang kepada penyelidikan bersama inovasi pendidikan serta pembangunan teknologi baharu yang boleh dimanfaatkan oleh sektor kesihatan dan industri.
“Inisiatif ini selari dengan pembangunan Kesihatan Digital (Digital Health) dan latihan bersasar (precision training) sekali gus memperkukuh keupayaan sistem kesihatan yang lebih efisien dan responsif,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, jalinan kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak malah turut memberi impak positif kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.
“Inisiatif ini juga turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: 'Good Health and Well-being' dan SDG 8: 'Decent Work and Economic Growth'.
“Kerjasama yang terjalin ini akan menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif strategik pada masa hadapan, seterusnya memberi manfaat berterusan kepada semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Rohazzuan pula menyifatkan pemeteraian MoU tersebut sebagai langkah penting dalam memperkukuh perkhidmatan digital pergigian melalui platform pembelajaran pintar dan rekod kesihatan elektronik bagi meningkatkan kecekapan pengajaran, latihan klinikal serta rawatan berfokuskan pesakit.
Beliau turut berharap agar kerjasama tersebut membuka ruang yang lebih luas dalam meneroka dan memacu penggunaan teknologi digital dalam bidang sains pergigian.

“OH Digital Solution amat berbesar hati dengan komitmen USM dalam memperluas jaringan kerjasama yang inklusif dan berimpak tinggi.
“Kami yakin usaha ini dapat memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui simulasi klinikal yang lebih interaktif sekali gus meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran,” katanya

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) PPSG USM, Dr. Fadzlinda Baharin dan Penyelaras MoU antara OH Digital Solution Sdn. Bhd. dan USM, Dr. Zainab Mat Yudin @ Badrin.
Teks: Marlina Zahari/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 89