USM PELOPOR PELAKSANAAN MMI DALAM PENGAMBILAN PELAJAR PERUBATAN DI MALAYSIA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pendidikan perubatan negara apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia memperkenalkan kaedah ‘Multiple Mini Interview’ (MMI) sebagai proses pemilihan calon bagi Program Ijazah Doktor Perubatan sejak tahun 2015.

Pelaksanaan MMI merupakan satu pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menilai kesesuaian calon, bukan sahaja berdasarkan pencapaian akademik, malah turut mengambil kira aspek profesionalisme, integriti, komunikasi, pemikiran kritis, kecerdasan emosi serta keupayaan membuat keputusan secara beretika.
Sebelum ini, proses pemilihan pelajar perubatan di kebanyakan institusi pengajian tinggi bergantung kepada temu duga konvensional yang dikendalikan oleh dua (2) orang penilai. Walaupun kaedah tersebut berupaya menilai kecemerlangan akademik calon, ia mempunyai keterbatasan dalam menilai potensi calon secara menyeluruh serta lebih terdedah kepada unsur subjektiviti.
Selaras dengan autonomi akademik yang diperoleh menerusi status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX), USM membangunkan sistem pemilihan yang lebih komprehensif melalui Jabatan Pendidikan Perubatan PPSP bagi memastikan calon yang dipilih memiliki keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan nilai kemanusiaan yang diperlukan dalam profesion perubatan.

Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad berkata, profesion perubatan memerlukan individu yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai sahsiah, integriti dan nilai profesionalisme yang tinggi.
"Kecemerlangan dalam bidang perubatan menuntut komitmen yang sangat tinggi terhadap konsep amanah kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh integriti dan rasa bertanggungjawab.

"Calon bukan sahaja perlu bersedia menggalas beban akademik yang besar, malah mesti memiliki nilai kemanusiaan yang utuh dan tidak berbelah bahagi," katanya.
Tambah Irfan, pelaksanaan MMI yang diperkenalkan sejak tahun 2015 terus dikekalkan sehingga sesi pengambilan pelajar bagi kemasukan tahun 2026.
“Bagi sesi kali ini, hampir 1,000 calon telah ditemu duga menerusi MMI yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM dari 21 hingga 25 Jun lalu.

“Sebanyak enam (6) stesen MMI disediakan, melibatkan lima (5) stesen penilaian individu dan sebuah stesen rehat. Di setiap stesen penilaian, calon dinilai berdasarkan respons terhadap pelbagai senario yang menguji kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, pertimbangan etika serta keupayaan menyelesaikan masalah.
“Bagi memastikan proses penilaian berjalan secara lancar dan adil, enam (6) rangkaian MMI yang sama telah dijalankan serentak dengan penglibatan lebih 160 orang pensyarah PPSP yang telah menjalani latihan sebagai penilai,” jelasnya lagi.

Selain itu, dalam usaha memudahkan calon dari Sabah dan Sarawak, Irfan turut menjelaskan bahawa PPSP juga menganjurkan sesi MMI di Sarawak pada 10 Jun 2026 dan di Sabah pada 11 Jun 2026.
“Inisiatif tersebut memberi peluang kepada calon menghadiri temu duga tanpa perlu melakukan perjalanan ke Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian, sekali gus membantu mengurangkan kos serta kekangan logistik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Perubatan, PPSP USM, Dr. Nik Mohd Rizal Nik Fakri pula berkata, pelaksanaan MMI pada skala besar memerlukan koordinasi yang rapi bagi memastikan setiap calon melalui pengalaman penilaian yang seragam.
“Menguruskan rangkaian stesen MMI pada skala sebesar ini menuntut keselarasan menyeluruh antara logistik bilik temu duga dengan kepelbagaian soalan psikometrik yang dibangunkan,” katanya.

Menurut beliau, matlamat pihak pengurusan PPSP setiap tahun adalah untuk menyediakan suasana penilaian yang adil, telus dan bebas daripada sebarang bias supaya aspek pemikiran kritis, kecerdasan emosi dan kecekapan komunikasi calon dapat dinilai secara objektif.

“Sejak diperkenalkan, sistem MMI yang dilaksanakan oleh PPSP telah menunjukkan tahap kesahan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability) yang tinggi dalam menilai potensi calon.

“Penggunaan beberapa stesen penilaian dengan panel yang berbeza turut membantu mengurangkan risiko berat sebelah individu serta meningkatkan objektiviti dalam proses pemilihan,” ujarnya lagi.
Kepakaran yang dimiliki oleh Jabatan Pendidikan Perubatan PPSP turut menjadikan USM sebagai antara pusat rujukan bagi pelaksanaan MMI di Malaysia. Sepanjang sedekad lalu, jabatan tersebut telah menganjurkan pelbagai bengkel serta memberi khidmat bimbingan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang ingin melaksanakan kaedah temu duga berkenaan.

Pelaksanaan MMI sejak tahun 2015 membuktikan komitmen USM dalam memperkukuh kualiti proses pengambilan pelajar perubatan melalui pendekatan yang telus, objektif dan berasaskan kompetensi, sekali gus menyokong aspirasi universiti melahirkan bakal doktor yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai nilai profesionalisme dan kemanusiaan yang tinggi.
Teks: Dr. Mohamad Najib Mat Pa & Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Ahmad Hadri Badrul Hisham
- Created on .
- Hits: 277