Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM PERKASA GOLONGAN OKU INTELEK MELALUI PROGRAM TOT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Januari 2025 – Orang kurang upaya (OKU) intelek adalah individu yang diagnosis mempunyai IQ (tahap intelek/kepandaian) yang rendah serta kelemahan ketara daripada segi perkembangan seperti masalah pertuturan, pergaulan, penjagaan diri dan tidak boleh berinteraksi dalam komuniti tanpa pantauan daripada penjaga.

Sebagai usaha membantu golongan ini, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan program Training of Trainers (TOT): Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek bagi memperkasakan golongan OKU intelek melalui latihan pekerjaan dan sokongan komuniti.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.08 PM 1

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, program ini mencerminkan komitmen USM untuk menyokong golongan OKU intelek agar mereka mampu berdikari dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Program ini adalah hasil kerjasama strategik antara USM dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Pusat Transformasi OKU USM - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) USM Kubang Kerian.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.07 PM 1

“Program ini memainkan peranan penting dalam pemerkasaan golongan OKU intelek dan membina jaringan kolaborasi yang kukuh antara universiti awam seluruh Malaysia selain bertujuan memperkasa pemimpin-pemimpin yang mampu mengurus dan mengembangkan Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek atau lebih dikenali sebagai VT@USM yang telah dimulakan sejak tahun 2012,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Bilik Persidangan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), hari ini.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.08 PM 2

Menurut Shaiful, sehingga kini, program VT@USM ini telah berjaya mentransformasikan seramai 120 orang OKU daripada status liabiliti kepada produktiviti.

“Mereka kini mampu berdikari, menjana pendapatan sendiri dan menjadi anggota masyarakat yang aktif menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.07 PM

“Kejayaan ini menjadi bukti jelas komitmen VT@USM dalam membina masyarakat yang lebih inklusif serta menyokong aspirasi golongan OKU intelek untuk kehidupan yang lebih bermakna,” jelasnya lagi.

Tambah Shaiful, program TOT ini juga merupakan satu langkah besar ke arah memperluas keberkesanan VT@USM.

5148ee81 664f 4436 9f93 4f7335135a4e

“Objektif utama program ini adalah untuk melatih tenaga pengajar dan jurulatih dari PPDK dan institusi pendidikan agar mereka lebih memahami keperluan golongan OKU intelek.

“Kita semua sedia maklum bahawa golongan OKU intelek menghadapi pelbagai cabaran. Antara cabaran utama adalah kurangnya peluang pekerjaan yang sesuai serta stigma masyarakat yang masih belum berubah sepenuhnya.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.09 PM 1

“Selaras dengan itu, TOT ini juga bertujuan untuk mempersiapkan tenaga pengajar dengan pengetahuan dan kemahiran, bukan sahaja dalam aspek teknikal tetapi juga dalam memahami psikologi dan keperluan khusus golongan ini,” ujarnya.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.08 PM

Shaiful turut mengingatkan para peserta untuk memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan menyebarkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh kepada komuniti masing-masing.

“Pastikan setiap ilmu yang diperoleh digunakan dengan sebaik-baiknya. Kita semua di sini mempunyai satu misi yang sama iaitu untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal di belakang dalam perjalanan pembangunan masyarakat.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.09 PM

“Saya yakin bahawa TOT ini hanyalah permulaan. Banyak lagi inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk memastikan matlamat kita tercapai.

“Dengan usaha yang konsisten, saya yakin program ini akan menjadi model kepada pelbagai inisiatif yang serupa di seluruh negara. Semoga usaha ia memberi manfaat yang besar kepada golongan OKU intelek, bukan sahaja di USM malah di peringkat nasional,” katanya.

WhatsApp Image 2025 01 05 at 2.20.06 PM

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan, PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Ketua Projek Program TOT: Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Teks: Marlina Zahari/ Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 237