Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM PERKASA KEBAJIKAN WARGA KERJA MENERUSI PENAIKTARAFAN WAD WARGA HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 September 2026 – Penaiktarafan Wad Warga Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menyediakan kemudahan rawatan yang lebih selesa dan kondusif kepada warga kerja, sekali gus mencerminkan komitmen Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan warga kerjanya terus diberi perhatian.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kejayaan menyiapkan projek tersebut membuktikan kesungguhan universiti dalam menyediakan persekitaran rawatan yang lebih selesa, kondusif dan memenuhi keperluan semasa warga kerja.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah menjayakan projek penaiktarafan tersebut.

“Perasmian Wad Warga hari ini bukan noktah kepada usaha penambahbaikan yang dilaksanakan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk kita terus mempertingkatkan kemudahan dan perkhidmatan demi kesejahteraan warga kerja.

“Saya berharap agar pihak pengurusan Kampus Kesihatan USM dan HPUSM terus mengenal pasti keperluan serta aspek yang boleh dipertingkat dari semasa ke semasa agar kemudahan yang disediakan sentiasa relevan, selamat dan memenuhi jangkaan pengguna,” katanya ketika merasmikan wad tersebut.

Menurut Abdul Rahman, budaya penambahbaikan berterusan amat penting bagi memastikan HPUSM kekal sebagai hospital pengajar yang mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti, di samping menyokong keperluan pendidikan, latihan dan penyelidikan.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi bergantung kepada komitmen dan dedikasi warga kerjanya dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.

“Aspek kebajikan dan kesihatan warga kerja tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan antara faktor penting yang menyokong penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, penyediaan kemudahan kesihatan yang selesa dan bersesuaian merupakan sebahagian daripada tanggungjawab institusi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang prihatin, selamat dan menyokong kesejahteraan staf.

Dalam pada itu, Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani pula berkata, projek penaiktarafan Wad Warga yang menelan kos RM1.4 juta di bawah Program Khas Inisiatif Naib Canselor Tahun 2023 telah bermula pada April 2024 dan berjaya disiapkan pada Mac 2026.

"Wad yang dahulunya dikenali sebagai Wad Staf 8 Timur Depan dan 8 Timur Tengah itu kembali beroperasi pada 3 Jun lalu dan sehingga kini telah memberi manfaat kepada hampir 400 pesakit.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa kemudahan yang dinaik taraf bukan sahaja menyediakan suasana rawatan yang lebih baik, malah telah digunakan secara optimum untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Hadir sama dalam Majlis Perasmian Wad Warga HPUSM ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dato' Dr. Azlan Amran; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Timbalan - timbalan Pengarah HPUSM dan Ketua-ketua Jabatan serta Unit HPUSM.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 157