Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM PERKASA WACANA ETIKA DAN UNDANG-UNDANG PERUBATAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 29 Jun 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam bidang kesihatan dan undang-undang perubatan apabila menjadi tuan rumah kepada ‘2nd National Medical Ethics and Law Conference 2025’ yang berlangsung di Hotel H-Elite, Tunjong, hari ini.

1000152217

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, berkata, dunia perubatan kini semakin kompleks dan menuntut pengamal perubatan serta pengamal undang-undang berganding bahu dalam memastikan pematuhan terhadap prinsip etika dan keharmonian antara kepentingan pesakit serta tanggungjawab profesional.

“USM melihat kepentingan penganjuran program seperti ini sebagai usaha menyatukan ilmu pengetahuan dan kepakaran pelbagai disiplin.

1000152221

"Fokus utama bidang perubatan dan perundangan dalam persidangan ini ialah menangani isu-isu ‘medico-legal’ secara beretika dan menyeluruh,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM berucap pada majlis perasmian.

1000152226

Persidangan yang memasuki edisi kedua (2) ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan seluruh negara termasuk pakar perubatan, peguam, ahli akademik serta pelajar dalam bidang kesihatan dan undang-undang.

1000152219

Tambah Shaiful Bahari, persidangan ini juga merupakan platform yang amat signifikan dalam memperkukuh kefahaman dan perbincangan kritikal berkaitan isu-isu semasa dalam etika dan undang-undang perubatan, khususnya melibatkan privasi data pesakit dan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam amalan kesihatan.

1000152223

“Dalam era digital yang serba pantas ini, kita berdepan dengan tanggungjawab yang besar untuk memastikan bahawa data pesakit dilindungi dengan penuh integriti dan penggunaan AI dilaksanakan secara telus, beretika serta menghormati prinsip keinsanan dan hak asasi pesakit.

1000152229

“Dalam menangani isu-isu etika dan perundangan yang semakin rumit, peranan peguam amat penting dalam memberikan nasihat yang berlandaskan undang-undang, membela hak serta maruah pesakit dan menjadi pengantara dalam menyelesaikan konflik etika yang mungkin timbul dalam amalan perubatan.

1000152225

“Pada masa yang sama, badan profesional perubatan turut memikul amanah besar untuk menetapkan garis panduan yang jelas, menyediakan latihan berterusan dan memantau amalan ahlinya agar sentiasa selaras dengan etika profesion,” jelasnya lagi.

1000152231

USM sebagai penganjur utama bukan sahaja menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong pembangunan polisi kesihatan nasional, malah turut berperanan sebagai pemangkin kepada kesedaran awam mengenai tanggungjawab profesional, hak pesakit dan keperluan interdisiplin dalam penjagaan kesihatan.

1000152233

Turut hadir ialah Pengarah Hospital Pakar USM (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor. Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Digital) HPUSM, Dr Ariffin Marzuki Mokhtar dan Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM merangkap Pengerusi ‘2nd National Medical Ethics and Law Conference 2025’, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

Teks: Rosalwani Che Soh dan Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM) /Foto Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 90