USM PERKENAL LATIHAN PENYARING KHUSUS UNTUK WARGA EMAS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Psikiatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) terus memperkukuh komitmennya dalam memperluaskan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan malah menjadi rakan strategik kepada komuniti melalui penganjuran Majlis Penutupan Kursus Latihan Penyaring dan Bantuan Awal Psikologi untuk Warga Emas, hari ini.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, program ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam menangani cabaran kesihatan mental dan kesejahteraan masyarakat menerusi pemindahan ilmu serta kolaborasi bersama komuniti.
“Penganjuran kursus ini merupakan antara hasil awal Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai baru-baru ini antara PPSP USM dengan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Kelantan.

"Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada pelbagai bentuk kolaborasi meliputi penyelidikan, latihan, pemindahan ilmu, pembangunan komuniti dan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan pesara serta masyarakat secara keseluruhannya.
"Kursus yang berlangsung selama dua (2) hari ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang mampu meningkatkan kesejahteraan mental masyarakat, khususnya dalam kalangan warga emas," katanya ketika berucap pada majlis penutup kursus tersebut.

Shaiful Bahari turut menyifatkan kursus ‘Wise Mind’ sebagai program latihan penyaring khusus untuk warga emas yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Program itu memperkenalkan pendekatan yang memperkasakan ahli komuniti sebagai individu terawal mengenal pasti perubahan emosi, tekanan psikologi dan risiko masalah kesihatan mental dalam kalangan warga emas sebelum mereka menerima bantuan profesional.

"Konsep ini amat signifikan kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sebagai 'mata dan telinga' kepada komuniti.
“Individu yang mengalami tekanan emosi lazimnya tidak tampil mendapatkan bantuan secara sukarela, namun perubahan emosi dan tingkah laku mereka sering dapat diperhatikan oleh ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan yang berada paling hampir," jelasnya lagi.

Tambah beliau, kursus tersebut turut memperkenalkan kemahiran ‘Psychological First Aid’ (PFA) atau Bantuan Awal Psikologi yang memberi penekanan kepada kemahiran mendengar secara empati, mewujudkan rasa selamat, membantu individu menenangkan diri serta menghubungkan mereka kepada bantuan dan perkhidmatan yang bersesuaian.
“PFA bukanlah satu bentuk rawatan atau terapi sebaliknya pendekatan sokongan awal yang telah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa sebagai intervensi awal yang berkesan dalam membantu individu yang berhadapan dengan situasi sukar atau krisis,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shaiful Bahari turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelidik yang membangunkan Modul Latihan Penyaring menerusi sokongan Geran Yayasan Hasanah.

“Pembangunan modul ini berasaskan penyelidikan dan bukti saintifik serta mengambil kira keperluan komuniti, sekali gus menjadikannya praktikal dan mampan dalam memperkukuh sokongan kesihatan mental di peringkat komuniti,” katanya.

Shaiful Bahari turut berharap agar latihan yang diberikan tidak terhenti sebagai satu kursus semata-mata, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pembentukan rangkaian penyaring komuniti yang mampu menyokong kesejahteraan mental warga emas secara berterusan.

"Semoga setiap peserta yang mengikuti latihan ini menjadi agen perubahan yang menyebarkan ilmu, meningkatkan kesedaran serta membantu membina masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan berdaya tahan," ulasnya lanjut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Bahagian Negeri Kelantan, Dato’ Haji Ismail Md. Noor; Pengerusi Kelab Jasa Budi USM, Haji Wan Mohd Suyuti Wan Ismail; Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak dan Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri PPSP USM, Profesor Madya Dr. Maruzairi Husain.
Teks: Marlina Zahari/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 318