USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 September 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) melebarkan sayap dengan menawarkan 20 perkhidmatan pakar pergigian di Poliklinik Pergigian Eksekutif (PPE) yang dikendalikan oleh Usains Tech Services Sdn Bhd (UTS ) dan telah mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2020.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr Awang Adek Hussin berkata, PPE adalah klinik yang paling tepat untuk masyarakat khususnya rakyat negeri Kelantan mendapatkan rawatan pergigian dari doktor pakar dalam tempoh yang cepat.
“Dengan adanya klinik pergigian eksekutif ini, pesakit tidak lagi perlu menunggu lama sebagaimana rawatan di klinik gigi biasa kerana mereka boleh mendapatkan rawatan mengikut tarikh dan masa yang sesuai melalui temujanji dan yang lebih menarik, mereka boleh memohon untuk mendapatkan rawatan dari mana-mana doktor pakar yang tersenarai.
“Ini merupakan pembaharuan dan penambahbaikan oleh USM untuk kepentingan pesakit dan kita akan melihat sambutan yang diterima, sekiranya menggalakkan, kami akan merancang ke arah yang lebih baik di masa hadapan termasuk meningkatkan lagi prasarana serta perkhidmatan yang ditawarkan”, ujar beliau yang ditemui sempena Majlis Perasmian PPE, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed berkata, poliklinik ini telah memulakan operasi sejak tahun 2003 tetapi perkhidmatan yang ditawarkan agak terhad kerana pesakit hanya boleh membuat temujanji rawatan selepas waktu pejabat sahaja ekoran rawatan dilakukan di klinik yang sama dengan klinik pergigian pakar sedia ada.
“Sekarang, PPE telah mempunyai ruang klinik sendiri dengan kapasaiti enam (6) bilik untuk rawatan yang dilengkapi peralatan pergigian dan konsultasi, diperkuatkan oleh 25 orang doktor pakar pergigian pelbagai bidang yang bersedia memberikan perkhidmatan mengikut keperluan pesakit.
“Setiap hari, PPE kini mula menerima sekurang-kurangnya dua hingga enam kes dan jumlah ini dijangka akan meningkat memandangkan perkhidmatan yang ditawarkan adalah lebih cepat, mudah serta bayaran yang dikenakan tidak membebankan," ujarnya.
Tambah Mafauzy, pesakit juga tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan yang tinggu untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik di luar Kelantan kerana di Hospital USM ini telah tersedia perkhidmatan dan kepakaran dalam bidang pergigian yang setara atau kemungkinan lebih baik.
"Antara perkhidmatan yang ditawarkan di PPE adalah pemeriksaan dan konsultasi pergigian, pembersihan, tampalan, cabutan gigi, pembuatan gigi palsu, rawatan kanal akar, rawatan pergigian kanak-kanak, pembedahan maksilofasial, implan gigi, bibir sumbing dan rekahan lelangit serta masalah sendi temporomandibel (TMJ)," jelasnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah USAINS, Datuk (Dr) Hafsah Hashim, Naib Canselor USM, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim serta Pengurusan Kampus Kesihatan dan Hospital USM.
Teks/Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Abdul Hasib Abdul Rahman