USM - PPKM BAHAGIAN NEGERI KELANTAN METERAI MoU FOKUS KESEJAHTERAAN PESARA DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Januari 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Kelantan bagi menjalin kerjasama strategik yang berterusan, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, latihan, kebajikan serta pembangunan komuniti yang berteraskan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama.

Pemeteraian itu membolehkan kedua-dua pihak meneroka dan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama termasuk penganjuran program latihan dan bengkel, aktiviti kebajikan, pelaksanaan projek penyelidikan, penglibatan staf dan pelajar serta pertukaran kepakaran dan penerbitan ilmiah.

Penandatanganan MoU tersebut disempurnakan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak bagi pihak USM manakala PPKM Bahagian Negeri Kelantan pula diwakili Pengerusi PPKM Bahagian Negeri Kelantan, Dato’ Haji Ismail Md Noor dan Ketua Jawatankuasa Kesihatan dan Rekreasi PPKM Bahagian Negeri Kelantan, Dr. Muhamad Sulaiman.

Kamarul Aryffin dalam ucapannya berharap agar usaha ini dapat menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan golongan pesara, pembangunan komuniti serta pemerkasaan ilmu dan perkhidmatan kesihatan.

“Kerjasama ini juga mencerminkan komitmen berterusan USM sebagai sebuah universiti penyelidikan dalam memperluaskan peranan akademik ke arah penglibatan komuniti yang lebih inklusif, progresif dan bermakna.

“Melalui jaringan strategik bersama PPKM, saya berharap ia dapat membina sebuah platform kerjasama yang mampan dan berimpak tinggi demi kepentingan masyarakat dan negara,” katanya.

Tambah beliau, pemeteraian MoU ini menandakan permulaan kepada satu jalinan kerjasama yang lebih tersusun, terancang dan berfokus.
“Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif dan program berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada kedua-dua pihak serta komuniti yang disasarkan.
“Saya yakin, dengan semangat kebersamaan dan iltizam yang kukuh, kerjasama ini akan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program-program yang lebih bermakna, lestari dan berkesan pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Haji Ismail pula menyifatkan pemeteraian MoU tersebut sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh peranan persatuan pesara melalui kerjasama strategik berteraskan ilmu, kepakaran dan pengalaman.
Menurut beliau, jalinan kerjasama bersama USM membuka ruang yang lebih luas kepada golongan pesara untuk terus menyumbang secara aktif dalam pelbagai inisiatif berkaitan kesihatan, kebajikan serta pembangunan komuniti.

“PPKM amat menghargai komitmen USM dalam memperluaskan jaringan kerjasama yang inklusif dan berimpak. Kami yakin usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli PPKM, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau turut berharap agar kerjasama tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan berfokus melalui penganjuran program kesihatan, latihan, penyelidikan serta aktiviti komuniti yang mampu memberikan impak langsung kepada golongan pesara dan masyarakat setempat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan (Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan) PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud; Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri PPSP USM, Profesor Madya Dr. Maruzairi Husain dan Penyelaras Majlis MoU antara USM dan PPKM Bahagian Negeri Kelantan, Dr. Siti Nur Najibah Fauzi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 256