Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM SANTUNI WARGA EMAS DI KUALA KRAI, FOKUS BERI MANFAAT KESIHATAN DAN PENDIDIKAN KOMUNITI

KUALA KRAI, KELANTAN, 2 Ogos 2025 – Pendekatan bersepadu dalam menjaga kesihatan warga emas terus diberi keutamaan menerusi penganjuran Program Harmoni Warga Emas yang berlangsung di Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, hari ini.

1000162714

Program yang dianjurkan oleh pelajar Sarjana Perubatan (Perubatan Keluarga), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) ini bertujuan menyantuni serta memberi manfaat kesihatan secara langsung kepada warga emas khususnya yang menetap di kawasan luar bandar.

1000162698

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, pemilihan lokasi program di Pondok Sungai Durian merupakan satu keputusan yang amat signifikan memandangkan populasi warga emas di sini dianggarkan antara 170 hingga 180 orang.

"Jumlah tersebut membuka peluang besar untuk pemantauan kesihatan yang lebih meluas dan berkesan.

1000162702

"Tidak hanya tertumpu kepada pemeriksaan kesihatan semata-mata, program ini hadir membawa mesej kemanusiaan yang mendalam bahawa warga emas merupakan permata masyarakat yang perlu dihargai, disantuni dan diberi tempat sewajarnya dalam komuniti," katanya ketika berucap dalam majlis penutup program tersebut.

1000162704

Tambah Shaiful Bahari, statistik menunjukkan bahawa Malaysia kini menuju ke arah status negara warga emas menjelang tahun 2030, di mana 15 daripada setiap 100 rakyat akan berumur 60 tahun ke atas.

1000162706

"Justeru, persediaan rapi dari segi rawatan kesihatan, keselamatan dan sokongan sosial amat penting dan perlu diperkukuh.

1000162710

1000162712

"Fokus utama program hari ini adalah mengenal pasti masalah kesihatan lazim dalam kalangan warga emas seperti risiko jatuh, penyakit jantung, masalah penglihatan dan pergigian, serta memberi pendidikan kesihatan berterusan supaya warga emas lebih cakna terhadap tahap kesihatan diri," ujarnya lagi.

1000162700

Shaiful Bahari berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program ini berlangsung seperti ceramah kesihatan, senaman kerusi, perkhidmatan pergigian, pemeriksaan mata serta banyak lagi yang mana langkah ini dilihat sebagai permulaan kepada usaha memperluas akses penjagaan kesihatan menyeluruh kepada golongan warga emas di kawasan luar bandar.

1000162718

"Selain itu, satu lagi keunikan program ini adalah latihan kepada wakil madrasah sebagai 'health advocates' yang bertindak sebagai rakan penasihat perubatan komuniti.

1000162716

"Pendekatan ini diharap dapat meneruskan legasi pendidikan kesihatan dalam komuniti walaupun selepas program berakhir," jelasnya.

1000162708

Turut hadir dalam program ini ialah Musyrif Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Dato’ Dr. Abdul Basit Abdul Rahman; Mudir Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Dr. Bunyamin Abd Rahman; Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Keluarga, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Imran Ahmad; Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Kuala Krai, Dr. Nasibah Tuan Yaacob dan Pensyarah Perubatan PPSP USM merangkap Pengarah Program Harmoni Warga Emas 2025, Profesor Madya Dr. Siti Suhaila Mohd Yusoff.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman & Dr. Taufiq Iqbal

  • Created on .
  • Hits: 794