Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM SEMARAKKAN BUDAYA KELESTARIAN MELALUI KEMPEN HIJAU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Julai 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dengan penganjuran Kempen Kesedaran Kitar Semula Sisa Elektronik (e-Waste) sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 di Dataran Kelabu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), hari ini.

1000152838

Kempen yang digerakkan oleh Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan dengan kerjasama strategik Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan serta rakan agensi lain ini membuktikan semangat kebersamaan yang tinggi dalam membudayakan kelestarian di Kampus Kesihatan selain memperkukuh komitmen bersama ke arah kelestarian alam sekitar yang mampan dan inklusif.

Lebih membanggakan, program ini turut mendapat penyertaan aktif dan sokongan daripada pelbagai lapisan warga kampus termasuk pelajar, staf akademik serta komuniti setempat. Penyertaan proaktif ini membuktikan komitmen bersama dalam menjayakan agenda kelestarian yang lebih holistik dan menyeluruh.

1000152826

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah dalam ucapannya menegaskan, kempen seperti ini amat penting dalam memastikan pengurusan sisa yang cekap dan mampan khususnya berkaitan sisa elektronik atau ‘e-waste’ yang semakin membimbangkan.

1000152842

“Hari ini, dunia menyaksikan penggunaan peralatan elektronik yang melibatkan hampir semua aspek kehidupan.

“Namun begitu, lambakan sisa elektronik yang tidak diurus dengan baik boleh membawa kesan buruk kepada alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya ketika merasmikan kempen tersebut.

1000152829

Beliau turut menyentuh mengenai isu sisa yang tidak sampai ke pusat pelupusan atau proses kitar semula menyebabkan timbunan sampah dan pembaziran sumber.

“Pengurusan e-waste bukanlah perkara biasa kerana ia memerlukan pendekatan yang sistematik dan lestari.

1000152840

“Sisa elektronik yang gagal dikendalikan secara berkesan boleh mencetuskan masalah seperti kebakaran di tapak pelupusan.

"Oleh itu, kempen kesedaran seperti ini amat penting dan perlu diteruskan sebagai satu usaha holistik mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sisa dengan lebih bertanggungjawab,” tambahnya.

1000152832

Beliau turut menyeru agar Kampus Kesihatan USM terus melaksanakan program-program seumpama ini secara berterusan bagi menyokong agenda kelestarian negeri dan nasional.

1000152850

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang seminggu kempen ini berlangsung seperti pengumpulan barangan ‘e-Waste’, aktiviti Digital Kasih, ceramah teknologi hijau, pameran interaktif, kuiz kelestarian serta sesi perkongsian ilmu bersama agensi luar. Setiap program ini dirancang rapi bagi menyampaikan maklumat, menyemai kesedaran serta mendorong tindakan nyata dalam kalangan peserta.

1000152844

Penganjuran kempen ini dilihat sebagai langkah kecil yang mampu memberi impak besar dalam membentuk komuniti kampus yang bertanggungjawab. Ia juga selari dengan aspirasi USM untuk menjadikan Kampus Kesihatan sebagai model kampus lestari yang progresif, berdaya tahan dan berwawasan.

1000152853

1000152845

Dengan penyertaan menyeluruh daripada seluruh warga kampus serta rakan strategik luar, USM percaya bahawa usaha ini bukan sekadar inisiatif jangka pendek tetapi satu amanah berterusan, khususnya dalam mendidik generasi muda sebagai pewaris masa depan.

1000152852

1000152848

Turut hadir dalam majlis perasmian kempen ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah JAS Negeri Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin; Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd., Dr. Mohd Roshdi Hassan; Timbalan Pengarah PPKT Kampus Kesihatan USM, Haji Nik Nashron Ab Aziz dan Penyelaras Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan USM, Rabiatul Adawiyah Ab Manan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel dan Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 92