Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM SOKONG USAHA PACU KECEMERLANGAN MAHASISWA DAN PEMERKASAAN GOLONGAN BELIA DI KELANTAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Disember 2024 - Pembangunan dan kemajuan negara sering dikaitkan dengan usaha dan inisiatif daripada pemimpin sesebuah negara. Namun begitu, setiap peringkat umur dalam masyarakat juga turut mempunyai peranan masing-masing dalam menaikkan nama negara di persada dunia khususnya golongan belia yang bakal menjadi pengganti kepada ketua organisasi mahupun pemimpin negara.

IMG 20241228 WA0009

Golongan belia seharusnya diberi ruang dan peluang untuk bersama membangun dan memajukan negara. Justeru, usaha pemerkasaan ini digerakkan melalui kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Parlimen Belia Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Rakan Muda serta Majlis Gabungan Belia Kelantan dalam penganjuran Persidangan Kepimpinan Belia Kelantan 2024 di Dewan Persidangan, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

IMG 20241228 WA0007

Persidangan yang bertemakan ‘Regenerasi Belia Kelantan’ dilihat sebagai salah satu platform untuk membentuk kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan kepimpinan mahasiswa.

Menurut Timbalan Pengarah (Belia), Bahagian Pembangunan Belia mewakili Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Naziah Dollah, pelbagai bentuk inisiatif dan pendekatan telah dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk memartabatkan pembangunan belia.

IMG 20241228 WA0013

"Salah satunya adalah melalui penganjuran persidangan ini yang merupakan program inkubator bertujuan melahirkan barisan kepimpinan generasi muda di samping menitikberatkan potensi dan keterampilan dalam diri para belia.

IMG 20241228 WA0010

"Segala usul, isu serta hasrat yang diutarakan melalui persidangan ini diharap dapat dibukukan dan diserahkan kepada jabatan dan agensi yang berkaitan.

"Persidangan ini juga diharap dapat memberi nilai tambah dalam perjuangan dan pembangunan belia di negeri Kelantan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan tersebut.

IMG 20241228 WA0014

Tambah Naziah, terdapat banyak lagi program lain yang telah dilaksanakan seperti program latihan kemahiran, khidmat komuniti, kepimpinan, kesukarelawanan, sukan, rakan muda dan sebagainya.

"Saya menyeru agar penubuhan pertubuhan belia baharu diperbanyakkan dan bergeraklah secara aktif dengan berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia.

"Perkasakan semula pertubuhan yang sedia ada dan pastikan menghantar pelaporan tahunan seperti mesyuarat agong serta laporan kewangan.

"Perkara ini penting bagi memastikan suara belia disalurkan kepada saluran yang betul dan ia juga akan mempengaruhi permohonan dana bantuan untuk tahun hadapan," katanya lagi.

IMG 20241228 WA0011

Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail pula percaya kerjasama strategik seperti ini amat penting dalam usaha memperkasakan kepimpinan mahasiswa.

Jelas beliau, USM beriltizam untuk terus memacu kecemerlangan di dalam pemerkasaan mahasiswa dan amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif memperkasakan golongan belia khususnya di negeri Kelantan.

IMG 20241228 WA0008

“Tema kali ini mengangkat mesej yang besar iaitu mengingatkan kita bahawa belia bukan sekadar pewaris kepada generasi terdahulu tetapi juga pencetus transformasi yang membawa nilai-nilai baharu dalam pembangunan masyarakat dan negara.

“Ini selaras dengan pelancaran Program Siswa Aspirasi Rakyat Kementerian Pendidikan Tinggi (SASAR KPT) 2024 iaitu inisiatif baharu bagi memperkasakan mahasiswa.

”USM menetapkan sembilan (9) fokus utama pencapaiannya iaitu memanfaatkan kepakaran USM, program akademik mampan dan berdaya maju, melestari libatsama komuniti, pembangunan kapasiti bakat, kolaborasi dan sinergi dengan industri, pemerkasaan mahasiswa, menaik taraf Pusat Perubatan USM Bertam, Kepala Batas, kelestarian kewangan dan hab kerjasama antarabangsa melalui jaringan,” katanya.

IMG 20241228 WA0012

Menurut Shaiful Bahari, USM sangat menitikberatkan pembentukan kepimpinan yang holistik dalam kalangan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga berdaya saing dalam aspek kepimpinan, sahsiah dan kemasyarakatan.

”Kami percaya, generasi belia hari ini merupakan ejen perubahan yang akan mengubah landskap negara pada masa akan datang.

IMG 20241228 WA0016

“Saya percaya melalui persidangan ini sedikit sebanyak akan menggalakkan lagi perkembangan agenda H.E.B.A.T USM menerusi 'attribute' ‘thinking’ di mana mahasiswa dapat berfikir dan berhujah secara bebas dalam memberikan padangan terhadap isu-isu yang relevan demi meningkatkan lagi nilai mutu mahasiswa kerana majoriti mahasiswa juga merupakan belia yang bakal mentadbir negara suatu hari nanti.

“Justeru, saya berharap agar semua peserta dapat mengambil manfaat sepenuhnya daripada segala perkongsian ilmu dan pengalaman yang dibentangkan sepanjang persidangan ini,” ujarnya.

IMG 20241228 WA0015

Turut hadir ialah Presiden Majlis Gerakan Belia Kelantan, Ahmad Syahiran Mohamad; Pengarah Persidangan Kepimpinan Belia Kelantan, Nik Muhammad Luqman Al Hakim Mohd Roslan; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Kampus Kesihatan USM, Muhammad Hanif Ariff dan Speaker Dewan Persidangan Kepimpinan Belia Kelantan, Muhammad Afiqq Noh.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 183