Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM TERIMA MANDAT PUSAT LATIHAN PEGAWAI PERLINDUNGAN SINARAN PERUBATAN PERTAMA DI MALAYSIA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) telah mewujudkan Pusat Latihan Pegawai Perlindungan Sinaran Perubatan yang pertama di Malaysia setelah diberi mandat untuk mengendalikan kursus tersebut, apabila dianugerahkan Lesen Kelas H oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 4 Disember 2024.

1000175071

Kursus yang berlangsung di Dewan Kuliah A, PPSK selama tiga (3) hari bermula hari ni adalah anjuran Unit Latihan Pegawai Perlindungan Sinaran Perubatan, PPSK USM dengan kerjasama Hospital Pakar USM (HPUSM).

Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani ketika merasmikan kursus terbabit berkata, KKM telah mewajibkan semua Pegawai Perlindungan Sinaran Perubatan yang berkhidmat di hospital dan institusi kesihatan di seluruh negara untuk mengikuti kursus latihan di pusat latihan yang diiktiraf oleh KKM.

1000175068

“Ini amat penting bagi memastikan Pegawai Perlindungan Sinaran Perubatan kekal kompeten dari segi kemahiran teknikal berkaitan langkah-langkah dan tatacara perlindungan sinaran, selain berperanan dalam memastikan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan.

“Malah, keperluan melantik seorang Pegawai Perlindungan Sinaran yang berwibawa juga telah dinyatakan dalam Bahagian III Peraturan 16(1), Peraturan Sinaran Keselamatan Asas 2010, subsidiari di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304),” katanya.

1000175074

Tambah Ab Rahman Izaini, sejajar dengan hala tuju KKM, Kampus Kesihatan USM telah mengambil langkah awal bermula pada tahun 2023 untuk menjadi salah sebuah Pusat Latihan Pegawai Perlindungan Sinaran Perubatan melalui usaha sama antara PPSK dan HPUSM.

“Usaha ini akhirnya berbaloi apabila PPSK telah dianugerahkan Lesen Kelas H oleh KKM pada 2024 dan telah menjadi pusat latihan pertama di Malaysia yang diberi mandat untuk mengendalikan Kursus Latihan Persijilan Pegawai Perlindungan Sinaran Perubatan.

“Saya difahamkan bahawa terdapat seramai 7,333 orang Pegawai Perlindungan Sinaran Perubatan berlesen dengan KKM yang wajib menghadiri kursus latihan persijilan ini,” ujarnya lagi.

1000175070

Jelas beliau, penganjuran kursus ini adalah untuk menyahut agenda negara yang digerakkan oleh KKM dalam memastikan keselamatan pesakit dan kakitangan kesihatan di seluruh Malaysia.

“USM sebagai sebuah universiti yang menawarkan program akademik dalam bidang sinaran perubatan serta menyediakan perkhidmatan rawatan seperti perubatan nuklear, radioterapi dan radiologi diagnostik, pastinya akan memberi impak besar kepada penjanaan pendapatan universiti selain perkongsian kepakaran staf USM dalam bidang tersebut.

1000175076

“Tahniah kepada pihak Program Sinaran Perubatan, PPSK, Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi HPUSM, Jabatan Radiologi HPUSM dan Unit Perubatan Transfusi HPUSM atas usaha sama dan inisiatif menjadi pusat latihan pertama yang diikitiraf oleh KKM.

"Terima kasih juga kepada Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan, KKM yang telah banyak membantu PPSK dan HPUSM memenuhi semua kriteria dan syarat untuk menjadi sebuah pusat latihan bertauliah,” katanya.

1000175066

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, Profesor Emeritus Dato' Dr. Abd Aziz Tajuddin dan Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 770