USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Mac 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Bank Rakyat Kubang Kerian untuk Tabung Prihatin COVID-19 Hospital USM.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim mewakili USM menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kubang Kerian, Rosmidi Ibrahim dan Pengurus Cawangan Kota Bharu, Ghazi Omar.
Program yang berlangsung di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan itu merupakan satu usaha berterusan daripada pihak swasta untuk terus menyumbang ke arah usaha melawan pandemik COVID-19 yang kini telah memasuki tahun kedua sejak penularannya pada penghujung 2019.
Sementara itu, dalam majlis yang sama turut disampaikan penyerahan zakat berupa komputer riba kepada enam orang pelajar B40. Ini adalah salah satu usaha USM untuk terus membantu golongan pelajar yang memerlukan berikutan pandemik COVID-19 yang memaksa lebih banyak kaedah pembelajaran dilakukan secara maya.
Salah seorang penerima, Siti Aisyah Rosli, pelajar Tahun 1, jurusan Sarjana Muda Sains Biologi Gunaan, Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, melahirkan rasa kesyukuran di atas sumbangan yang diberikan kepada beliau.
“Syukur alhamdulillah, tidak semua orang terpilih untuk menerima sumbangan sebegini, memandangkan musim pandemik ini, ia amat membantu memudahkan tugas saya untuk mengikuti kelas secara 'online' di samping membuat tugasan lain.
"Semoga dengan sumbangan ini akan terus memberikan semangat kepada saya untuk belajar dengan baik,” katanya.
Manakala bagi Ros Aisyah Ayub, pelajar Tahun 1, jurusan Sarjana Muda Teknologi Persekitaran, Pusat Pengajian Teknologi Industri pula berkata, sumbangan itu memberikan kelegaan kepada beliau selain turut bersyukur dan akan menggunakan komputer riba itu sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman