Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM TERUSKAN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA CASEMIX SOLUTIONS SDN. BHD. PERKASA PENYELIDIKAN DAN SISTEM KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan strategik bersama industri apabila satu Perjanjian Kerjasama (Collaboration Agreement) dimeterai bersama Casemix Solutions Sdn. Bhd. (CSSB), hari ini.

1000158436

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail mewakili Naib Canselor USM dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak bagi pihak USM, manakala CSSB pula diwakili Presiden CSSB, Profesor Emeritus Dato' Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid dan Pengarah CSSB, Dato' Dr. Junaidah Kamarruddin.

1000158439

Berucap dalam majlis tersebut, Aziah menzahirkan penghargaan kepada CSSB atas kesediaan menjalin kerjasama strategik yang dilihat mampu melonjakkan lagi bidang penyelidikan translasi dan pengkomersialan inovasi, seiring dengan aspirasi USM sebagai Universiti APEX.

1000158418

“Melalui kerjasama ini, pelbagai inisiatif berimpak tinggi dijangka dapat dilaksanakan khususnya dalam bidang penyelidikan kesihatan, analisis data klinikal, pembangunan sistem Casemix serta pemerkasaan sumber manusia profesional dalam pengurusan maklumat kesihatan,” katanya.

1000158437

Tambah Aziah, antara pencapaian penting hasil kolaborasi ini ialah pembangunan Oral Health Casemix System (OHCS), sistem pertama seumpamanya di dunia hasil kerjasama penyelidik USM dan CSSB.

1000158440

“Perjanjian ini akan membolehkan penggunaan sistem OHCS diperluas ke peringkat nasional dan antarabangsa.

1000158422

“Kerjasama ini akan memberi fokus kepada beberapa bidang utama, antaranya ialah pembangunan kapasiti dalam Sistem Gabungan Kes (Casemix System) dan pengkodan klinikal; kerjasama antarabangsa dalam bidang kesihatan awam dan ekonomi kesihatan; program pascasiswazah dalam pengurusan hospital dan kesihatan awam; pertukaran staf dan pelajar bagi meningkatkan keupayaan dan kepakaran dalam Sistem Casemix; pembangunan modul latihan; penyelidikan bersama serta program e-pembelajaran; penganjuran seminar, simposium dan bengkel dalam bidang yang dipersetujui bersama dan kerjasama dalam inovasi pembelajaran melalui platform ‘microcredential’ yang akan diterajui oleh PPSK,” jelasnya lagi.

1000158441

Menurut Aziah, kedua-dua pihak turut bersepakat untuk mengenal pasti dan melaksanakan projek-projek khusus dari semasa ke semasa yang memberi manfaat kepada institusi, masyarakat dan sistem kesihatan negara.

1000158424

“Perjanjian ini bukan hanya dokumen rasmi, tetapi lambang kepada semangat perkongsian ilmu, pemindahan teknologi dan komitmen bersama dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan.

1000158432

“USM yakin kolaborasi ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha inovatif dan strategik dalam memperkukuh sistem kesihatan negara serta menyumbang kepada pembangunan kesihatan sejagat,” ujarnya.

1000158420

Sementara itu, Syed Mohamed Aljunid, pula berkata, pihaknya berharap agar kerjasama ini dapat membawa nama USM ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus menunjukkan kepakaran penyelidik USM yang setanding hebatnya dengan universiti lain di peringkat global.

“Saya juga percaya bahawa pelaksanaan OHCS di Hospital USM menunjukkan kesan positif terhadap peningkatan dalam kecekapan dan kualiti penjagaan pesakit sekali gus dapat diperluas ke peringkat yang lebih tinggi.

1000158434

“Kerjasama antara CSSB dan USM ini amat unik dan saya percaya ia akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat di masa hadapan,” katanya.

1000158416

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPSK USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah; Timbalan Dekan (Siswazah, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSK USM, Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian dan Penyelaras Perjanjian Kerjasama antara CSSB dan USM, Dr. Shuhaila Mat Sharani.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 193