USM TIDAK MENUNGGU MASA DEPAN, TETAPI MENCIPTANYA – NAIB CANSELOR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Februari 2026 – “Tahun 2026 menuntut universiti untuk bergerak dengan lebih tepat, berani dan bermakna. Di Universiti Sains Malaysia (USM), kita tidak menunggu masa depan, tetapi kita menciptanya melalui tindakan yang berimpak tinggi, berprinsip dan berpandukan visi yang jelas,” demikian petikan kata-kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed semasa menyampaikan perutusan Naib Canselor 2026 di Kampus Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, ia bukan sekadar ungkapan, tetapi satu penegasan tanggungjawab bahawa kecemerlangan tidak boleh bersifat dalaman semata-mata, ia mesti diterjemahkan kepada tindakan yang mencipta kesan, menyelesaikan masalah dan membentuk nilai di pentas masyarakat dan dunia.
“Status APEX yang kita terima pada tahun 2008 bukan sekadar pengiktirafan, ia adalah amanah.

“Amanah untuk memacu pembaharuan, mencipta impak yang melangkaui angka dan mencorak penyelesaian kepada cabaran nasional dan global,” ujarnya.
Bertemakan ‘Meneraju Kecemerlangan, Mencorak Impak Global’, Abdul Rahman turut menyentuh tujuh (7) fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan polisi peningkatan prestasi universiti.

Selain itu, beliau berkata, USM memikul amanah besar negara dalam melahirkan ‘brain of the nation’ iaitu insan berilmu tinggi yang dipandu oleh akal budi nusa, senada dengan amanat Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
“Kemenjadian siswa bukan lagi wacana dasar, tetapi satu realiti yang dibuktikan melalui pencapaian, kepimpinan dan prestasi mahasiswa kita.

“Pelbagai program telah dijalankan untuk membina bakat kepimpinan secara berperingkat dan berfokus untuk kemenjadian siswa: dari polisi kepada realiti.
“Antara inisiatif berimpak tinggi ialah program ‘USM NEXUS 2026’, sebuah program antarabangsa yang menghimpunkan hampir 100 pelajar perubatan dan wakil akademik dari enam (6) negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Gaza, Itali dan New Zealand yang menjadi platform penting dalam memperkukuh kepimpinan pelajar, kecekapan silang budaya serta jaringan kerjasama global dalam kalangan mahasiswa Kampus Kesihatan,” jelasnya lagi.

Tambah Abdul Rahman, USM terus membuktikan komitmen teguh terhadap agenda kelestarian apabila berjaya meningkatkan kedudukan dalam ‘Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025’ ke tangga ke-14 terbaik dunia.
“Lebih membanggakan, tiga (3) Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh) dan SDG 17 (Kerjasama untuk Matlamat), telah diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

“Tahun 2026 bukan sekadar mengekalkan kecemerlangan, tetapi memastikan pencapaian ini benar-benar memberi impak yang signifikan kepada masyarakat dan komuniti di peringkat lokal, nasional sehingga ke persada global,” ujar beliau.
Dalam perkembangan signifikan di peringkat antarabangsa pula, Abdul Rahman memaklumkan bahawa bermula 1 Februari 2026, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM secara rasmi telah disenaraikan antara lapan (8) institusi luar negara yang diiktiraf oleh Singapore Medical Council (SMC) dan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

“Pengiktirafan ini membolehkan graduan perubatan USM memohon pendaftaran dan berkhidmat sebagai doktor di Singapura, sekali gus mengesahkan kualiti latihan klinikal, penguasaan bahasa Inggeris, reputasi antarabangsa serta prestasi graduan USM yang setanding dengan institusi terkemuka dari Australia, India, Ireland dan Pakistan,” ulasnya lanjut.
Menurut Abdul Rahman lagi, Kampus Kesihatan turut menerajui kecemerlangan dalam penjagaan pesakit strok melalui pendekatan bersepadu yang menggabungkan inovasi digital dan peningkatan fasiliti klinikal.

“Pembangunan aplikasi mudah alih CaknaStrok menjadi antara inisiatif utama sebagai alat sokongan holistik kepada pesakit strok dan penjaga, hasil kerjasama penyelidikan strategik pelbagai pihak.
“Seiring itu, Hospital Pakar USM (HPUSM) juga telah menaik taraf Wad 1 Selatan kepada Unit Rawatan Strok, yang kini merupakan wad khusus strok terbesar di Pantai Timur dan satu-satunya di Kelantan dengan kapasiti 25 katil serta menyediakan rawatan yang lebih tersusun, cekap dan menepati piawaian antarabangsa bagi menangani lebih 900 kes strok setiap tahun,” katanya.

Selain itu, HPUSM juga terus melangkah ke hadapan sebagai pusat rujukan perubatan serantau melalui pengenalan teknologi pembedahan terkini, termasuk perkhidmatan pembedahan lutut berbantu robot ROSA serta pembedahan laser refraktif mata.
“Inovasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit, malah membuktikan peranan universiti dalam memperkasa sistem kesihatan serantau serta menjana pendapatan secara ,mampan kepada institusi,” ujar Abdul Rahman.

Lebih 1,000 warga Kampus Kesihatan memenuhi Dewan Utama untuk mendengar perutusan yang turut dihadiri Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Pengarah (Klinikal) mewakili Pengarah HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 197