USM, UNHAS METERAI MOU PERKUKUH KOLABORATIF PENYELIDIKAN DAN AKADEMIK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mac 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Universitas Hasanuddin, Indonesia (UNHAS) melibatkan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM dan Fakultas Kedokteran UNHAS.
Majlis penandatanganan telah disempurnakan oleh Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman bagi pihak USM dan Dekan Fakultas Kedokteran, Profesor Dr. Haerani Rasyid bagi pihak UNHAS.
MoU tersebut menandakan bermulanya perkongsian yang mencerminkan semangat kerjasama, saling menghormati dan aspirasi kedua-dua universiti untuk menangani cabaran global melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Abdul Razak dalam ucapannya berkata, melalui MoU itu, UNHAS dan USM bersedia untuk memulakan perjalanan inisiatif kolaboratif termasuk projek penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, program akademik dan aktiviti perkongsian pengetahuan.
“Kami akan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk memupuk kerjasama antara disiplin, menggalakkan pemahaman budaya dan mendorong impak sosial yang positif dalam pendidikan perubatan.
“Saya berharap agar kerjasama ini memberi hasil terbaik dengan gabungan tenaga kedua-dua universiti selain berpeluang untuk berkongsi dan mencipta pengalaman pendidikan baharu, menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan mengupayakan generasi masa depan untuk menjadi pemimpin dan innovator,” ujarnya.
Sementara itu, Hearani pula berharap melalui MoU ini, UNHAS dan USM dapat berkongsi pengetahuan, saling membantu dan memberikan impak yang terbaik kepada universiti masing-masing.
“Besarlah harapan saya agar kerjasama yang dijalinkan ini memberi manfaat bersama kepada institusi pengajian masing-masing dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan penyelidikan di antara kedua-dua negara,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 296