USM, UOMUS PERKUKUH KERJASAMA HUBUNGAN DUA HALA DALAM BIDANG ANATOMI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Ogos 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani ‘Academic Programme Agreement’ (APA) bersama Al-Mustaqbal University (UOMUS), Iraq bagi memperkukuh kerjasama dua (2) hala dalam bidang anatomi.
Kolobrasi itu menggabungkan dua (2) institusi akademik dari dua (2) wilayah dunia yang memupuk ekosistem pendidikan kolaboratif dan akan memanfaatkan kedua-dua pihak.
Majlis penandatanganan APA itu disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad bagi pihak USM manakala UOMUS pula diwakili oleh Penasihat Presiden Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Hamza Mohammed Ridha Al-Khafaji dan Pensyarah Kolej Perubatan dan Teknikal Perubatan, Dr. Maytham Ali Shaalan.
Abdul Razak dalam ucapannya berkata, USM mengiktiraf kuasa transformasi pendidikan yang hanya dapat direalisasikan sepenuhnya apabila ia selaras dengan keperluan dan tuntutan institusi pendidikan dan pihak berkepentingan.
“Kerjasama ini bertujuan untuk mewujudkan peluang perkongsian ilmu dan pengembangan pendidikan di peringkat pascasiswazah khususnya dalam bidang anatomi,” ujarnya.
Menurut Abdul Razak, inisiatif ini akan menyediakan calon pascasiswazah terutamanya di Iraq peluang untuk meneruskan pendidikan lanjutan melalui program pesisir mod campuran bagi Sarjana Sains (Anatomi Klinikal).
Justeru Abdul Razak berharap, pelaksanaan yang bertauliah melalui program pascasiswazah di UOMUS berjalan lancar bagi melatih graduan ke peringkat profesional, melengkapkan mereka dengan kemahiran, pengetahuan dan minda yang diperlukan untuk berkembang maju dalam kerjaya mereka.
“Saya percaya melalui perkongsian ini, kita bukan sahaja akan memupuk semangat kecemerlangan dalam komuniti USM tetapi juga merealisasikan visi pembangunan universiti ke arah kecemerlangan pendidikan global dan holistik.
“Kami berharap kerjasama antara USM dan UOMUS akan memberi manfaat dari segi perkongsian antara akademik, inovasi, meningkatkan kemahiran dalam penyelidikan dan aplikasi serta mempertingkatkan pendidikan,” jelasnya lagi.
Abdul Razak berkata, kerjasama ini diharap akan berfungsi sebagai platform pertukaran pengalaman yang lebih kerap antara Malaysia dan Iraq.
“Marilah kita bergabung tenaga untuk memperkasakan graduan bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dan membimbing mereka ke arah kerjaya yang berjaya.
“Bersama-sama kita mencungkil bakat para pelajar agar mereka memenuhi permintaan ahli akademik dan memberi inspirasi kepada generasi profesional yang berpengetahuan dan berkemahiran yang kelak akan memberi impak yang berkekalan kepada kedua-dua pihak,” katanya lagi.
Sementara itu, Hamza Mohammed Ridha pula berkata, pihaknya amat terharu di atas kerjasama ini dan berharap kolaborasi antara kedua- dua pihak akan diteruskan dalam jangka masa lebih lama bagi tujuan penambahbaikan serta ilmu baharu khususnya dalam bidang anatomi.
“Semoga usaha ini membuahkan hasil yang memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Dekan PPSP USM, Ketua Jabatan, Jabatan Anatomi PPSP USM, Profesor Madya Dr. Siti Nurma Hanim Hadie@Haji serta Koordinator APA antara USM dan UOMUS, Profesor Madya Dr. Zul Izhar Mohd Ismail.
Teks: Rosalwani Che Soh / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 254