USM UTAMAKAN KESEJAHTERAAN DOKTOR, KUALITI PERKHIDMATAN KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Oktober 2026 – Kesejahteraan doktor perlu diberikan perhatian seiring dengan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang selamat, berkualiti dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata, kecemerlangan organisasi kesihatan bukan sahaja bergantung pada kemudahan fizikal dan teknologi, malah turut ditentukan oleh kebajikan, kesejahteraan dan komitmen warga kerja yang menjadi tunjang penyampaian perkhidmatan.
Menurut beliau, doktor berhadapan dengan tuntutan kerja yang tinggi, jadual perkhidmatan yang mencabar serta tanggungjawab besar untuk memastikan keselamatan dan kualiti rawatan pesakit sentiasa terpelihara.
“Usaha menjaga kesejahteraan fizikal, mental, emosi dan profesional warga kerja perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan prestasi organisasi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Doktor Malaysia 2026 Peringkat Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Auditorium Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su, Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, teleperubatan dan teknologi baharu menuntut doktor untuk sentiasa bersedia menyesuaikan diri serta memainkan peranan aktif dalam memimpin perubahan bidang perubatan.

Katanya, kelebihan USM sebagai universiti yang menggabungkan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan klinikal perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan doktor terus mengembangkan ilmu, memperkukuh kepakaran, menjalankan penyelidikan dan meneroka inovasi demi manfaat pesakit serta masyarakat.

“Peranan doktor bukan sekadar memberikan rawatan, malah merangkumi tanggungjawab sebagai pendidik, penyelidik, pembimbing generasi muda dan peneraju inovasi dalam bidang kesihatan.
“Saya berharap agar seluruh doktor di USM terus mengekalkan budaya kerja yang berteraskan profesionalisme, integriti, empati, kesejahteraan dan kecemerlangan dalam melaksanakan amanah kepada pesakit dan masyarakat,” ujarnya lagi.

Pada masa ini, ekosistem perubatan USM melibatkan seramai 570 orang doktor dan pensyarah perubatan, terdiri daripada 319 orang Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), 184 orang Pegawai Perubatan di HPUSM, 12 orang Pegawai Perubatan di Pusat Sejahtera, tiga (3) orang Pegawai Perubatan di Unit Kesihatan (Kejuruteraan), serta 20 orang Pensyarah Perubatan dan 32 orang Pegawai Perubatan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB).

Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada seluruh doktor dan warga kerja USM atas dedikasi, kesungguhan serta pengorbanan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
“Sambutan seperti ini amat bermakna kerana memberi ruang kepada kita untuk berhenti seketika daripada kesibukan tugas harian dan menzahirkan penghargaan kepada para doktor atas segala masa, tenaga, ilmu dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang menjalankan tanggungjawab.

“Kepada semua doktor, ketahuilah bahawa setiap usaha, pengorbanan dan khidmat yang diberikan amat bermakna.
“Semoga sambutan ini menjadi suntikan semangat untuk kita terus memberikan yang terbaik kepada pesakit dan masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengajak para doktor untuk bersama-sama membina persekitaran kerja yang saling menyokong, menghargai dan mengambil berat antara satu sama lain kerana kesejahteraan warga kerja merupakan sebahagian daripada kekuatan sesebuah organisasi.
Sambutan tersebut turut menghimpunkan wakil daripada PKTAAB, Pusat Sejahtera dan Unit Kesihatan (Kejuruteraan), sekali gus mencerminkan jaringan kerjasama dalam ekosistem perkhidmatan kesihatan USM.

Turut hadir ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Ahmad Zaimi Abdul Latiff; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Kelantan,Profesor Madya Mohd Dr. Zulfakar Mazlan dan Pengerusi Sambutan Hari Doktor Malaysia 2026 Peringkat Hospital Pakar USM, Dr. Long Tuan Mastazamin Long Tuan Kechik.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 192