USM – MDSA METERAI MoA, PERLUAS SKOP KEPIMPINAN DAN MOBILITI PELAJAR PERGIGIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Jun 2026 – Usaha memperkasa pengalaman pembelajaran pelajar pergigian melangkaui bilik kuliah terus diperkukuh apabila Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Malaysian Dental Students’ Association (MDSA), hari ini.

Pemeteraian tersebut membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara institusi akademik dan badan pelajar profesional dalam membentuk graduan pergigian yang holistik, berdaya saing serta memiliki keupayaan kepimpinan dan pemikiran global.
Penandatangan MoA berkenaan disempurnakan oleh Dekan PPSG USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin mewakili Naib Canselor USM serta Penyelaras Elektif dan Antarabangsa PPSG USM, Dr. Nurhafizah Ghani bagi pihak USM manakala MDSA pula diwakili Penasihat MDSA, Dr. Nor Atika Md Ashar dan Presiden MDSA, Yap Jia Qi.

Norhayati dalam ucapannya menegaskan bahawa landskap pendidikan pergigian masa kini menuntut pendekatan pembelajaran yang lebih dinamik, merangkumi pendedahan antarabangsa, interaksi rentas budaya serta kefahaman terhadap sistem penjagaan kesihatan yang pelbagai.
“Pendidikan pergigian tidak boleh bersifat statik. Pelajar perlu dilengkapi pengalaman yang membentuk kematangan profesional, nilai empati serta keupayaan berinteraksi secara berkesan dengan masyarakat global,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama ini turut menjadi platform penting bagi pelaksanaan Malaysia Unilateral Exchange Programme (MUEP) yang memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam pertukaran akademik dan mobiliti antarabangsa, sekali gus memperkayakan perspektif serta kompetensi profesional mereka.
“Selain memperluas jaringan antarabangsa, kerjasama USM–MDSA juga dijangka merangkumi pelaksanaan program pembangunan kepimpinan pelajar, penyelidikan bersama, aktiviti kesukarelawanan komuniti serta inisiatif profesional yang menyokong pembentukan sahsiah dan jati diri bakal doktor pergigian.

“Pemeteraian MoA ini melambangkan iltizam bersama untuk membangunkan ekosistem pendidikan pergigian yang progresif, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan, selari dengan aspirasi USM sebagai universiti berorientasikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya lagi.
Tambah Norhayati, USM optimis bahawa kerjasama strategik ini akan terus berkembang dan memberi impak berpanjangan dalam melahirkan graduan pergigian yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan klinikal, malah memiliki kepimpinan, etika serta keprihatinan sosial yang tinggi.

Sementara itu, Penasihat MDSA, Dr. Nor Atika Md Ashar pula berkata, MoA tersebut disifatkan sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh peranan MDSA sebagai platform pembangunan kepimpinan dan profesionalisme pelajar pergigian di Malaysia.

“Kerjasama bersama USM ini memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara lebih aktif dalam program mobiliti, pertukaran akademik serta inisiatif berimpak tinggi yang mampu memperluas perspektif dan kemahiran insaniah mereka.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman, malah merupakan platform menghimpunkan pelajar antarabangsa di samping membantu melahirkan pelajar pergigian yang lebih berdaya saing, berkeyakinan serta bersedia menghadapi cabaran profesion di peringkat global,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sinergi antara USM dan MDSA akan memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan modal insan dalam bidang pergigian, khususnya dalam membentuk graduan yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 290