USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Julai 2023 – Dalam usaha mengutamakan keselesaan kepada pesakit, Klinik ‘Fine Needle Aspiration Cytology’ (FNAC), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menawarkan perkhidmatan di lokasi baharu berhadapan Klinik Pakar Perubatan, Hospital USM bermula awal Jun lalu.

Klinik FNAC Hospital USM merupakan satu-satunya Klinik FNAC di Malaysia yang melaksanakan sendiri proses pengurusan pesakit termasuk mempunyai sistem pendaftaran dan deskripsi perubatan atau sijil sakit sendiri. FNAC ialah prosedur yang dilakukan menggunakan jarum halus untuk mengambil sedikit sel pada ketulan atau ketumbuhan superfisial bagi mengenal pasti sama ada ia ketumbuhan yang bahaya (kanser) atau sebaliknya.

Menurut Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, kebanyakan Klinik FNAC di hospital lain berkongsi ruang di Klinik Surgeri atau Otorinolaringologi (ORL).
“Keberadaan klinik ini secara sendiri dan terbuka dapat memberi keselesaan dan ruang khas yang kondusif untuk para pesakit melakukan prosedur ini.

“Ini membuktikan kepentingan klinik FNAC adalah untuk memberikan perkhidmatan sama rata kepada semua pesakit dalam semua bidang kepakaran atau subkepakaran di Hospital USM khususnya dan Kelantan amnya,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Klinik FNAC Hospital USM, hari ini.
Nik Hisamuddin turut berbangga dengan pembukaan Klinik FNAC tersebut sekaligus membuktikan Hospital USM komited dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan selesa kepada para pesakit.

“InsyaAllah, Klinik FNAC bakal bertindak sebagai ‘Point of Care Testing’ (POCT) untuk perkhidmatan sitopatologi dan akan diintegrasi dengan kemudahan lain seperti mesin ‘ultrasound’ kerana ianya akan meningkatkan lagi kadar keberkesanan dan sensitiviti prosedur ini.
“Selain itu, saya juga percaya prosedur FNAC di Hospital USM terbukti selamat dan mesra pesakit serta mendapat pengiktirafan akreditasi antarabangsa MS ISO 15189: 2014,” jelasnya lagi.

Tambah Nik Hisamuddin, pengurusan Hospital USM mengharapkan perkhidmatan Klinik FNAC ini memberi manfaat sepenuhnya kepada semua pesakit yang terlibat kerana impaknya sangat besar dalam kehidupan mereka.
“Pengurusan Hospital USM juga akan sentiasa menyokong usaha ini agar semua masyarakat khususnya pesakit Hospital USM mendapat manfaat melalui perkhidmatan FNAC yang ditawarkan,” kata beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM, Timbalan-timbalan Dekan PPSP USM, Ketua Jabatan, Jabatan Patologi USM, Dr. Faezahtul Arbaeyah Hussain dan Penyelaras Klinik FNAC merangkap Pengarah Majlis Perasmian Klinik FNAC, Profesor Madya Dr. Anani Aila Mat Zin.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman