WIRA DI SEBALIK KEJAYAAN UNIVERSITI: 575 WARGA KAMPUS KESIHATAN USM TERIMA APC DAN ASB
KOTA BHARU, KELANTAN, 13 Julai 2025 – Sebagai penghargaan atas jasa dan kecemerlangan dalam perkhidmatan, seramai 575 warga Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) diraikan dalam Majlis Penghargaan Universiti 2025 yang merangkumi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dan Anugerah Sanjungan Budi (ASB) 2025 di Renai Hotel, Kota Bharu, hari ini.
Majlis penuh bererti ini diadakan bagi merai dan mengiktiraf pencapaian serta jasa warga USM yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dan mutu kerja cemerlang dalam menyumbang kepada kecemerlangan universiti.
Daripada jumlah penerima tersebut, seramai 449 staf menerima APC 2024 terdiri daripada 87 orang staf akademik, 47 staf pengurusan dan profesional (P&P) serta 315 orang lagi merupakan staf kategori pelaksana.
Bagi ASB 2025 pula, seramai 126 orang tersenarai sebagai penerima anugerah tersebut terdiri daripada 18 staf akademik, 16 staf P&P dan 92 orang lagi adalah staf pelaksana. ASB merupakan penghargaan kepada staf yang telah menyumbang khidmat bakti selama 25 tahun kepada universiti.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, penganugerahan ini merupakan manifestasi penghargaan universiti terhadap komitmen, usaha gigih dan dedikasi warga kerja yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyumbang kepada kecemerlangan USM.
“Kecemerlangan berprestasi tinggi serta bertaraf global kini menjadi satu keperluan dalam landskap pendidikan tinggi yang serba mencabar.
“Dalam usaha kita untuk mengangkat USM ke pentas dunia dan membawa dunia ke USM, setiap sumbangan yang dizahirkan oleh warga universiti amat dihargai.
“Justeru, universiti amat mengharapkan semangat iltizam yang ditunjukkan akan terus diperkasa demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Tambah Abdul Rahman, tahun ini menandakan ulang tahun ke-56 penubuhan USM, sejak diasaskan pada tahun 1969.
“Sepanjang tempoh ini, pelbagai cabaran telah ditempuh dengan jayanya hasil kesungguhan, kebersamaan dan komitmen warga USM.
“Saya berharap agar keupayaan berfikir secara strategik, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi secara efektif akan menjadi indikator keberkesanan penyampaian perkhidmatan semua warga USM.
“Pembudayaan kerja berprestasi tinggi dalam suasana kerja berpasukan yang harmoni serta indeks kebahagiaan yang tinggi harus menjadi tunjang kepada kejayaan berterusan universiti,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima APC 2024 dan ASB 2025.
“Jadilah inspirasi serta ikon kecemerlangan yang mampu membimbing staf-staf lain untuk turut mencapai tahap yang gemilang.
“Semoga segala usaha kita diberkati Allah SWT dan menjadi landasan kepada kejayaan USM yang lebih gemilang,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) yang juga Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato’ Dr. Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Madya Dr. Azizah Ismail serta Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penghargaan Universiti 2025, Noor Hayati Mohammad.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 153