Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

XIXILI INTIMA SDN BHD DAN RAYATECH SDN BHD DUA RAKAN STRATEGIK TINGKATKAN PENYELIDIKAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi melakar sejarah apabila menandatangani dua kerjasama strategik melibatkan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama XIXILI Intima Sdn Bhd dan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama RayaTech Sdn Bhd dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, hari ini.

1000156628

1000156630

Majlis menandatangani MoA dan MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor USM.

1000156626

1000156634

Menurut Shaiful Bahari, kerjasama yang terjalin ini merupakan satu langkah besar ke arah memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri yang menyatukan penyelidikan saintifik dengan aplikasi dunia sebenar demi manfaat masyarakat sejagat.

1000156624

“Melalui kerjasama bersama XIXILI Intima Sdn Bhd, satu kajian bertajuk ‘Multiracial Anthropometric Breast Measurements: A Single Centre Study at Universiti Sains Malaysia’ akan dilaksanakan.

1000156622

“Kajian yang diketuai oleh Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar dari Unit Sains Rekonstruktif, PPSP USM ini bakal membangunkan pangkalan data ukuran antropometri payudara yang mewakili kepelbagaian etnik utama di Malaysia.

1000156632

“Data ini dijangka memberi impak besar dalam perancangan pembedahan yang lebih tepat, pembangunan produk yang lebih baik serta meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan yang lebih inklusif,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis berkenaan.

Tambah beliau, sumbangan XIXILI dalam kerjasama ini bukan sahaja membuktikan komitmen mereka terhadap penyelidikan beretika, malah menunjukkan kesungguhan dalam meningkatkan kesejahteraan kesihatan wanita secara menyeluruh.

1000156646

Dalam masa yang sama, Shaiful Bahari turut memberitahu bahawa pemeteraian MoU bersama RayaTech Sdn Bhd juga membuka jalan kepada pelaksanaan dua (2) projek penyelidikan yang berimpak tinggi, iaitu pembangunan Model Bahasa Besar (Large-Language Model - LLM) khusus untuk bidang perubatan klinikal dan kesihatan di Malaysia serta kajian kebolehlaksanaan bagi sistem maklumat hospital berasaskan ‘artificial intelligence’ (AI) di Hospital Pakar USM (HPUSM).

1000156644

1000156648

“Kerjasama ini membuktikan nilai sebenar sinergi antara universiti dan industri selain memperkukuh keterhubungan antara kekuatan akademik USM dan kepakaran teknologi digital dalam sektor kesihatan, sekali gus melonjakkan pembangunan sistem kesihatan negara ke tahap lebih cemerlang,” ujarnya lagi.

1000156636

1000156638

Shaiful Bahari berkata, kolaborasi ini menjadi bukti nyata bahawa penyelidikan tidak harus terhenti di makmal semata-mata, sebaliknya harus diterjemahkan dalam bentuk penyelesaian yang menyentuh kehidupan sebenar.

1000156642

“USM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada XIXILI Intima Sdn Bhd dan RayaTech Sdn Bhd atas keyakinan dan sokongan mereka terhadap komitmen USM dalam menjana ilmu dan inovasi untuk kemajuan bersama.

1000156640

“Semoga MoA dan MoU ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih besar pada masa akan datang dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Eksekutif Pemasaran Kanan, XIXILI Intima Sdn Bhd, Tan Lay Hong; Ketua Pegawai Eksekutif, RayaTech Sdn Bhd, Dr. Ishak Ibrahim; Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Pereka Grafik Kanan, XIXILI Intima Sdn Bhd, Koh Cheng Mun; Naib Presiden (Pentadbiran) RayaTech Sdn Bhd, Faridah Ibrahim; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Penyelaras MoA USM dan XIXILI Intima Sdn Bhd, Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar dan Penyelaras MoU USM dan Raya Tech Sdn Bhd, Dr. Afiq Izzudin A Rahim.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 116